Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Mahdzir yakin dapat pertahan kerusi parlimen Padang Terap

Mahdzir yakin dapat pertahan kerusi parlimen Padang Terap

oleh Ammar Haziq
Mahdzir (tiga kiri).

KUALA NERANG, 5 Nov – Penyandang kerusi Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin dapat mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini meskipun berdepan pertembungan empat penjuru.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, keyakinan itu turut bersandarkan kepada sokongan pengundi muda di kawasan parlimen itu.

“Insya Allah, saya wakil rakyat, Ahli Parlimen di sini (Padang Terap) sebelum ini, saya punyai keyakinan yang tinggi bahawa saya dapat mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap,”

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai pengumuman nama calon bagi kerusi P007 Padang Terap di Pejabat Daerah Padang Terap di sini hari ini.

Mahdzir beramah mesra dengan penyokong BN Parlimen Padang Terap.

Tambah Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Barisan Nasional (BN) mempunyai program bersesuaian yang dirancangkan untuk menarik minat golongan muda bersama BN pada PRU15.

“Anak muda adalah satu daripada kluster paling penting dalam menentukan sokongan kepada calon-calon, jadi kita juga punyai program rancangan untuk anak muda bersama dengan kita,” katanya.

Pada sesi penamaan calon yang berlangsung di pejabat daerah berkenaan, Mahdzir diumum antara empat calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Padang Terap dalam PRU15 nanti.

Dari kanan Mahdzir, Nurul Amin, Razali dan Muaz.

Tiga calon lain yang akan merebut kerusi parlimen itu ialah Razali Lebai Salleh daripada parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muaz Abdullah (Pakatan Harapan) dan Nurul Amin Hamid (Perikatan Nasional).

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya P007 Parlimen Padang Terap, Datuk Abd Ghani@Zulkifli Zainuddin tepat jam 10.26 pagi selepas tempoh penyerahan borang penamaan calon tamat pada pukul 10 pagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com