Thursday, 16, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan perkukuh sekuriti makanan negara

Kerajaan perkukuh sekuriti makanan negara

oleh Ammar Haziq
Anwar hadir mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang bersidang buat kali pertama semalam.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang bersidang buat kali pertama semalam mengetengahkan hasrat kerajaan untuk mengambil pendekatan berpaksikan kesinambungan bekalan makanan negara agar kekal terjamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jawatankuasa ini berperanan dalam merangka dasar dan strategi sekuriti makanan yang lebih holistik dan mampan.

“JKSMN kali ini turut memberi tumpuan memperkukuhkan sekuriti makanan negara mengambil kira faktor-faktor yang memberi kesan kepada pertanian negara seperti perubahan iklim, kekangan sumber, konflik geopolitik, kemudahsampaian makanan, jurang pendapatan dan amalan pemakanan.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan cadangan untuk meningkatkan produktiviti penanaman padi melalui kaedah penanaman 5 musim dalam tempoh dua tahun. Kerajaan akan menilai kaedah pelaksaan bagi memastikan cadangan dapat direalisasikan dengan segera,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau, hari ini.

Anwar berkata mesyuarat itu juga turut membincangkan usaha mempertingkatkan peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menjadi agensi utama menjamin ketersediaan bekalan makanan.

Selain itu katanya, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan untuk memodenkan aktiviti penternakan melalui kaedah sistem penternakan secara tertutup bagi menggalakkan pengurusan ladang yang produktif dan selamat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com