Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional Jenazah Muhamad Hafiz selamat dikebumikan di Sungai Petani

Jenazah Muhamad Hafiz selamat dikebumikan di Sungai Petani

oleh Ammar Haziq

SUNGAI PETANI – Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, yang merupakan salah seorang mangsa nahas sebuah pesawat ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerung, di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham disemadikan kira-kira pukul 3.15 petang selepas selesai solat jenazah di masjid terbabit.

Jenazah di solat dan di talkinkan Bilal Satu Masjid Al Huda, Izzuddin Ariffin.

YouTube player

Dianggarkan lebih 1,000 orang termasuk saudara mara dan masyarakat setempat hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu, penghantar makanan itu merupakan jenazah pertama yang sah dikenalpasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah kemudiannya telah dimandi dan dikapankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan HTAR sebelum dituntut oleh bapanya, Muhamad Salleh, 57, pada kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Serahan jenazah allahyarham dibuat selepas sidang akhbar oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan identiti mangsa dan kebenaran tuntutan jenazah kepada keluarga.

Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.

Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki.

Menurut saksi kejadian, Allahyarham sempat menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com