Thursday, 16, May, 2024
Utama Nasional Nahas Elmina: Setiausaha Politik PM ziarah waris mangsa untuk sampaikan sumbangan

Nahas Elmina: Setiausaha Politik PM ziarah waris mangsa untuk sampaikan sumbangan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi hari ini berkesempatan menziarahi keluarga tiga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam minggu lepas.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan itu adalah untuk menyampaikan sedikit sumbangan beliau kepada keluarga Sharipudin Shaari iaitu pemandu e-hailing serta waris Allahyarham Shahrul Kamal Roslan dan Allahyarham Haikal Aras Abdul Azim, yang masing-masing merupakan juruterbang pesawat berkenaan.

Beliau berkata semalam, Ahmad Farhan turut menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Taufiq Mohd Zaki (Pegawai Khas kepada Datuk Seri Johari Harun) serta waris Allahyarham Datuk Seri Johari Harun (Exco Kerajaan Negeri Pahang) dan Allahyarham Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi (juga juruterbang pesawat).

“Saya amat berharap keluarga mangsa yang terlibat tabah tatkala diuji ujian yang getir dan berat ini. Semoga kita semua dapat mendoakan roh mereka diberikan tempat yang terbaik di sisi Yang Maha Esa serta keluarga dikurniakan kekuatan saat ini,” katanya.

Pada 17 Ogos lepas, 10 individu terkorban dalam nahas itu termasuk Johari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com