Saturday, 11, May, 2024
Utama Nasional 3,000 orang sertai Malaysia #QuranHour sempena sambutan Hari Kebangsaan

3,000 orang sertai Malaysia #QuranHour sempena sambutan Hari Kebangsaan

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kira-kira 3,000 jemaah hadir bagi mengimarahkan program Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Selain Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, program #QuranHour turut diadakan secara serentak di 200 lokasi seluruh negara dan tiga lokasi di luar negara iaitu Bangkok, Thailand; New South Wales, Australia; dan Washington, AS.

Program yang bermula pada 12 tengah hari itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Al-Baqarah ayat satu hingga lima, diikuti Surah Al-lnsan dan Surah Al-Asr.

Malaysia #QuranHour kali ini diberi pengisian bacaan al-Quran yang dibimbing lima qari iaitu Abdul Qowiy Abd Rashit, Tilmiz Afif, Amir Naufal Rifqi, Faris Hadi Taufik dan Yusuf Kassim.

Ia diselang-seli dengan sesi tadabbur yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Fazrul Ismail, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi dan Ustaz Mujib Othman.

Usai bacaan dan tadabbur ketiga-tiga surah itu, hadirin membaca ikrar al-Quran yang dipimpin Sahabah al-Quran Yusuf Azmin dan diakhiri dengan bacaan Doa Malaysia Berakhlak Mulia oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Ustaz Nor Azamir Alias.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF Marhaini Yusoff berkata pada tahun ini, surah Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr menjadi surah pilihan, bertepatan dengan tema iaitu ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ dalam membentuk Malaysia MADANI, negara yang sejahtera, harmoni dan progresif.

“Malaysia #QuranHour yang digerakkan sempena momentum Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun, mengajak seluruh masyarakat untuk memahami intipati dan erti kemerdekaan dalam membangunkan negara yang makmur, utuh dan progresif melalui intervensi yang diformulasikan daripada prinsip-prinsip al-Quran,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff pula berkata program Malaysia #QuranHour dapat menarik lebih ramai masyarakat mencintai al-Quran dan dalam masa yang sama, mendidik masyarakat bahawa kitab suci itu bukan sahaja untuk dibaca tetapi mempraktikannya dalam kehidupan seharian.

“Program ini juga satu manifestasi bahawa minat dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ilmu al-Quran itu bertambah baik,” katanya.

Program Malaysia #QuranHour yang dilaksanakan sejak 2015 adalah program satu jam bersama al-Quran sebagai permulaan untuk melakukan perubahan minda melalui Quran, Tadabur, Tazakkur (QTT).

Antara yang hadir pada program itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman (Altimet), Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com