Tuesday, 21, May, 2024
Utama Nasional Perkara penting dalam laporan Kajian Separuh Penggal RMK12

Perkara penting dalam laporan Kajian Separuh Penggal RMK12

oleh Ammar Haziq

Pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Parlimen pada 11 September merupakan kerangka ekonomi MADANI.

Pembentangan tersebut menyaksikan anjakan baharu disuntik ke dalam rancangan pembangunan lima tahun memandangkan kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan  mempunyai agenda ekonominya yang tersendiri.

Antara perkara penting yang diumumkan Anwar dalam pembentangannya ialah kenaikan siling perbelanjaan RMK12 daripada RM400 bilion kepada RM415 bilion, dengan komitmen untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun untuk 2023, 2024 dan 2025.

Ini bagi mengimbangi semula perbelanjaan pembangunan rendah yang digunakan pada 2021 dan 2022, iaitu masing-masing sebanyak RM64.3 bilion dan RM71.6 bilion.

RMK12 merupakan rancangan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun, bermula pada 2021 hingga 2025.

Rancangan ini diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September 2021 dengan menggariskan empat matlamat utama.

Matlamat tersebut ialah peratus pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus setahun; purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan pada 2025; jurang KDNK per kapita antara wilayah tengah dengan Sabah dikurangkan kepada nisbah 1 kepada 2.5 dan bagi Sarawak 1 kepada 1.2 pada 2025 serta pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada 2030.

Untuk KSP RMK12, kerajaan memasukkan anjakan baharu yang selaras dengan kerangka ekonomi MADANI dan disokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Anjakan baharu tersebut akan memberi tumpuan khusus kepada:

Menoktahkan kemiskinan tegar: Kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM1.5 bilion untuk program meningkatkan pendapatan.

Reformasi struktur ekonomi: Struktur ekonomi akan beralih kepada bidang seperti industri peralihan tenaga, industri digital, elektrik dan elektronik bernilai tinggi, keterjaminan makanan dan industri nadir bumi.

Menerajui ekonomi Islam: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada (konsep) halal dan toyyiban serta inovasi kewangan Islam selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dan keadilan.

Eksport perkhidmatan: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada eksport perkhidmatan seperti perkhidmatan global, industri kreatif, aeroangkasa dan pelancongan.

Keutamaan perbelanjaan dalam tempoh tiga tahun menjelang 2025, kerajaan akan memberi tumpuan kepada infrastruktur asas untuk rakyat, termasuk:

Kesihatan: Sebanyak 1,200 klinik daif di seluruh negara akan dinaik taraf antara 2023 hingga 2025, serta menyegerakan projek naik taraf fasa pertama di Hospital Sultanah Aminah 2, Johor dengan kos RM500 juta untuk menangani kesesakan.

Pendidikan: Komitmen untuk membaik pulih sekolah daif.

Rangkaian jalan: Sarawak-Sabah Link Road II dan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.

Pengangkutan: Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan pembangunan semula Subang selain pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey, Klang, Selangor.

Tenaga: Menambah baik daya harap bekalan elektrik di Sabah.

Bekalan air: Menangani masalah bekalan air, terutamanya di Kelantan dan Sabah.

Keterjaminan makanan: Infrastruktur kawasan sawah di MADA, Kedah dengan peruntukan RM3 bilion.

Tebatan banjir: Komitmen pelaksanaan projek tebatan banjir.

Keselamatan sempadan: Pembangunan pengkalan tentera laut di Bintulu dan perolehan aset tambahan seperti kenderaan perisai dan Littoral Mission Ship untuk memperkukuh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Anjakan baharu dan perancangan perbelanjaan KSP RMK12 juga akan disokong pembaharuan kemampanan, tatakelola dan sistem penyampaian kerajaan.

Pembaharuan yang akan dibuat termasuk:

Pembaharuan tatakelola: Menumpukan kepada perundangan berkaitan rasuah dan perolehan kerajaan berlandaskan saingan atau tender terbuka.

Pembaharuan kemampanan fiskal: Sasaran defisit fiskal pada 3.5 peratus KDNK atau lebih baik pada 2025.

Inovasi sistem penyampaian awam: Menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan dan menambah baik keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Pendigitalan perkhidmatan: Didukung oleh Identiti Digital Nasional (IDN) dan Kerajaan Berteknologi Termaju (GovTech).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com