Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Kecekapan pegawai kerajaan dipertingkat, elak kelewatan pelaksanaan projek

Kecekapan pegawai kerajaan dipertingkat, elak kelewatan pelaksanaan projek

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tahap kecekapan pegawai kerajaan dipertingkat bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pada masa depan.

Beliau menjelaskan, perkara itu penting bagi memastikan tidak ada projek-projek yang telah diluluskan lewat dilaksanakan.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau meminta agar projek-projek yang diluluskan perlu dikemas kini dalam masa dua minggu.

“Kita ada mesyuarat dan saya minta supaya perkara-perkara yang kita rujuk perlu dikemas kini dalam masa dua minggu.

“Maksudnya projek-projek yang telah diluluskan itu dalam masa dua minggu ada kemas kini, kalau tidak ada yang dibenamkan,” katanya selepas melancarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) pada Khamis.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menjelaskan isu kelewatan pelaksanaan projek antara yang dibangkitkan dalam pertemuan beliau bersama pelabur di luar negara.

“Kritikan itu harus kita terima dengan baik, jangan ada yang tersinggung, kena akui memang benar ada kelewatan.

“Saya di New York bulan lalu dan berjumpa beberapa syarikat-syarikat besar, bila saya tanya, faktor positif banyak.

“Mereka cakap walaupun kita ini cepat kelulusan berbanding negara lain seperti Afrika atau Amerika Latin tetapi masih kalah dengan Vietnam dari segi tahap kelulusan dan kecepatan kelulusan,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan tahap kecekapan pegawai-pegawai kerajaan mampu menarik pelabur-pelabur asing ke negara ini.

Justeru, beliau berharap agar sikap melambatkan pelaksanaan projek seperti berlaku sebelum ini tidak lagi berulang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com