Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri UUM tersenarai kelompok 100 universiti terbaik Asia

UUM tersenarai kelompok 100 universiti terbaik Asia

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia dalam senarai dikeluarkan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2023 pada jam 9 malam tadi (waktu tempatan)

Dalam tempoh tiga tahun sejak 2021, UUM telah berjaya membuat lonjakan 56 anak tangga sehingga berada dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia.

Pada tahun ini, UUM berada di kedudukan ke-99, berbanding 148 pada tahun lalu dan kedudukan ke-155 pada 2021.

UUM telah berkongsi kedudukan kali ini dengan tiga lagi universiti dari luar negara iaitu Jazan University, Arab Saudi; University of International Business and Economics, China dan Cankaya University, Turkiye.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, lonjakan sehingga 56 anak tangga itu adalah hasil usaha dan komitmen warga UUM untuk bersama-sama menjadikan universiti ini sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka dan dalam menjayakan Pelan Strategik UUM.

Menurutnya, pihak pengurusan mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mencipta sejarah manis untuk UUM, terutamanya kepada Naib-naib Canselor sebelum ini, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan semua warga UUM.

“Kedudukan UUM dalam senarai 100 universiti terbaik di Asia ini membolehkan universiti untuk bergerak jauh ke hadapan bagi meluaskan lagi jaringan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kejayaan ini juga pastinya tidak mampu dicapai tanpa sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi sokongan kepada UUM untuk terus merealisasikan visi dan misi UUM,” katanya.

Lonjakan besar UUM ini telah didorong oleh peningkatan dalam impak sitasi (citation impact), khususnya.

Times Higher Education (THE) Asia University Rankings yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan sebanyak 669 universiti seluruh Asia disenaraikan bagi penarafan 2023.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com