Thursday, 2, May, 2024
Utama Nasional Razaruddin, Ayob Khan bakal terajui PDRM

Razaruddin, Ayob Khan bakal terajui PDRM

oleh LX Osman

Tan Sri Razarudin Husain dan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay antara nama yang disebut-sebut akan mengisi dua jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas ini.

Razarudin ketika ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Negara antara nama dikatakan bakal dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang akan menamatkan kontrak perkhidmatannya lebih awal iaitu pada Julai ini.

Sebelum ini, kontrak Acryl Sani disambung untuk tempoh dua tahun yang berkuat kuasa pada 4 Oktober 2021 hingga 3 Oktober ini.

Bagaimanapun Acryl Sani dilaporkan berkata, beliau akan mengundurkan diri daripada pasukan PDRM pada minggu pertama Julai ini.

Razarudin pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Disember 2021 sebelum dilanjutkan secara kontrak selama dua tahun sehingga 15 Mac 2025.

Anak kelahiran Dengkil, Selangor itu mula bertugas pada 1984 di JSJ Kontinjen Kedah sebagai pegawai penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Asisten Superintendan Polis di daerah Muar, Johor.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam pasukan antaranya Ketua JSJ Pulau Pinang, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Perak, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum dilantik ke jawatan nombor dua dalam PDRM.

Sementara itu, Ayob Khan dikatakan antara calon dipertimbangkan bagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com