Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Malaysia terus pelbagaikan destinasi eksport ke pasaran bukan tradisional

Malaysia terus pelbagaikan destinasi eksport ke pasaran bukan tradisional

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan usaha untuk mempelbagaikan destinasi eksport negara terutamanya ke pasaran bukan tradisional seperti Asia Tengah dan Latin Amerika, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kawasan pasaran tersebut menunjukkan potensi tinggi yang mana pada tempoh sembilan bulan pertama 2023, eksport ke rantau itu mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 24.7 peratus dan 2.3 peratus.

“Antara program yang dijalankan adalah termasuk program penyumberan antarabangsa (INSP),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Anwar berkata ia merupakan antara usaha Kerajaan bagi memitigasi nilai eksport yang menurun berikutan persekitaran global yang tidak menentu.

“Kerajaan juga melaksanakan program Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan (MGPP) ke luar negara yang bertujuan mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan langsung asing (FDI) serta barangan dan perkhidmatan keluaran negara bagi meningkatkan eksport, menggalakkan kerjasama pelaburan dan perdagangan dua hala antara Kerajaan, dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi lawatan kerja ke New York, baru-baru ini, Malaysia memperoleh komitmen pelaburan berpotensi daripada tiga syarikat Amerika Syarikat berjumlah RM4.74 billion dalam sektor peranti perubatan, sektor elektrik dan elektronik dan sektor jentera dan peralatan.

“Dua projek sektor elektrik dan elektronik dan sektor jentera dan peralatan dengan potensi nilai pelaburan RM2.74 bilion dijangka siap menjelang akhir 2024.

“Manakala satu projek peranti perubatan berjumlah RM2.0 bilion disasar diperoleh sehingga 2031 secara berperingkat yang mana fasa pertama berjumlah RM545 juta sebagai pelaburan awal telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.

Manakala menerusi lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini Anwar berkata Kerajaan berjaya mendapatkan komitmen pelaburan dari negara itu berjumlah RM40.6 bilion yang melibatkan sektor tenaga boleh baharu (MASDAR dengan jumlah RM38.1 bilion) dan aeroangkasa (penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi jet perniagaan berjumlah RM710.25 juta).

“Syarikat MASDAR telah mengadakan lawatan (kajian terperinci) untuk mengenal pasti beberapa rakan kongsi dalam kalangan syarikat tempatan bagi menjalankan projek tenaga boleh baharu secara berfasa dalam tempoh 10 tahun.

“MASDAR juga telah menandatangani memorandum persefahaman bersama CitaGlobal Sdn Bhd bagi menjalinkan kerjasama dalam projek tenaga boleh baharu seperti solar dan turbin angin.

“Melangkah ke hadapan MASDAR dan MIDA akan menubuhkan jawatankuasa pemandu bagi memudahkan projek kerjasama antara MASDAR dan syarikat tempatan dapat direalisasikan di Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata Ketua Pegawai Eksekutif dan delegasi MASDAR akan berada di Malaysia pada minggu ini untuk berjumpa rakan kongsi berpotensi mereka yang telah diatur oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA.

UAE ketika ini merupakan pelabur terbesar di Malaysia dari rantau Asia Barat dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sehingga kini, pelaburan UAE dalam pelbagai projek pembuatan yang dilaksanakan di Malaysia berjumlah US$388.8 juta (RM1.48 bilion).
Anwar berkata semasa lawatan kerja ke Arab Saudi pula beliau telah bertemu dengan syarikat terkemuka negara berkenaan seperti Public Investment Fund (PIF) dan Saudi Arabian Oil. Co (Aramco).

Menurutnya, Aramco telah menunjukkan minat untuk meningkatkan lagi pelaburan di Malaysia dalam sektor perkilangan iaitu industri hiliran dan peruncitan petrokimia.

“Setakat ini, Aramco merupakan rakan kongsi Petronas bagi projek penapisan dan petrokimia di Kompleks Petroleum Integrasi Pengerang (PIPC) di Selatan Johor.

“Namun demikian buat masa ini, Aramco sedang memperhalusi rancangan pelaburan mereka. Kerajaan amat komited untuk menyediakan fasilitasi secara menyeluruh bagi merealisasikan projek pelaburan ini,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha memastikan potensi pelaburan strategik hasil daripada Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan dan Sesi Lawatan Kerja Rasmi Perdana Menteri dapat dilaksanakan, Kerajaan telah mengambil pendekatan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) di bawah MITI.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com