Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Rasuah: NACS kesinambungan NACP

Rasuah: NACS kesinambungan NACP

oleh Ammar Haziq

SEPANG: Kerajaan akan memperkenalkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) sebagai kesinambungan kepada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam ucapannya pada Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini semalam, Mohd Zuki berkata NACP yang dilancarkan pada Januari 2019 kini memasuki tahun akhir pelaksanaan.

Mohd Zuki berkata matlamat untuk menjadi negara maju bebas rasuah tidak harus disandarkan kepada enam bidang keutamaan yang termaktub dalam naskhah NACP sedia ada.

“Sebaliknya, pelaksanaan tata kelola baik merentasi sektor lain perlu diperhalusi agar pembaharuan dasar tata kelola, integriti dan antirasuah memberi impak positif kepada rakyat dan negara,” katanya dalam ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Azhar Ahmad.

Enam bidang keutamaan NACP ialah tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang serta tadbir urus korporat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai lepas menerusi ciapan Twitternya berkata kerajaan bersetuju untuk meneruskan kesinambungan NACP dengan satu strategi baharu di peringkat nasional yang dikenali sebagai NACS.

Mohd Zuki berkata usaha mengkaji risiko rasuah dalam sektor berbeza atau di luar bidang keutamaan NACP dan menghasilkan syor penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu dan cabaran sedia ada dan masa hadapan merupakan inisiatif penting ke arah pembentukan ekosistem tata kelola baik bebas rasuah.

Beliau berkata resolusi daripada persidangan itu juga akan dijadikan input dalam memuktamadkan NACS.

Persidangan berkenaan menghimpunkan 10 tajuk kertas penyelidikan dalam pelbagai sektor tumpuan utama antaranya perolehan awam, sukan dan sektor tidak formal.

Sepuluh resolusi yang dicapai pada persidangan itu antaranya menangani isu campur tangan oleh pihak politik dalam projek pembangunan sektor luar bandar dan pemberian bantuan kepada golongan sasar dan meminda Akta Pembangunan Sukan 1987 khususnya berkaitan kesalahan rasuah, pelanggaran integriti dan tata kelola serta kebertanggungjawaban melibatkan ekosistem pembangunan sukan dalam negara.

Resolusi lain meliputi merealisasikan penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dalam mengawal selia urusan perolehan bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan kebertanggungjawaban semua pihak.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com