Friday, 10, May, 2024
Utama Nasional Percepat projek kemudahan rakyat Sabah, PM tidak mahu lagi alasan

Percepat projek kemudahan rakyat Sabah, PM tidak mahu lagi alasan

oleh Ammar Haziq

TENOM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya pembangunan kemudahan rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan Lebuh Raya Pan Borneo dipercepatkan, tanpa ada sebarang alasan lagi.

Beliau berkata penegasan itu perlu dilakukan kerana terdapat projek-projek pembangunan untuk kemudahan rakyat di negeri ini tertangguh, antaranya Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini yang mampu memberi bekalan elektrik dan air yang selesa untuk rakyat.

“Projek tertangguh antaranya menyebabkan dua kesan iaitu kos meningkat dan kesan kepada harapan rakyat untuk memperoleh kemudahan terutama untuk mendapatkan kemudahan bekalan elektrik dan air. Contohnya empangan ini, pastikan supaya ada perlaksanaan dan pemantauan supaya tiada alasan untuk lengahkan.

“…tekad ini amat kritikal, mendesak untuk rakyat, siapkan lebih cepat dan beri keselesaan kepada rakyat. Itu sikap kita mesti ada sekarang,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, dan Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) Datuk Annuar Ayub.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com