Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri SADA siap saga hadapi fenomena El Nino

SADA siap saga hadapi fenomena El Nino

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pemantauan oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) terhadap kapasiti pengeluaran air harian di beberapa loji rawatan air (LRA) menunjukkan trend penurunan yang berpunca daripada cuaca kering dan panas atau lebih dikenali sebagaiFenomena El Nino.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fenomena ini sedang berlaku di seluruh negara dan dijangka berterusan sehingga suku kedua tahun ini.

Ketersediaan air  mentah merupakan isu yang kritikal, terutama semasa musim kemarau. Jika keadaan ini berterusan, pengoperasian LRA secara keseluruhan akan turut terkesan.

Di Negeri Kedah, beberapa kawasan dijangka akan terkesan dengan situasi ini iaitu kawasan-kawasan yang memperoleh bekalan air daripada LRA jenis Headworks.

LRA Headworks beroperasi secara separa rawatan dan bergantung kepada kualiti dan kuantiti air mentah semasa.

Daripada 35 buah LRA di seluruh Negeri Kedah, empat daripadanya merupakan LRA jenis Headworks yang menerima sumber bekalan air mentah daripada gunung atau Bukit.

Antaranya ialah LRA Merbok, LRA Tupah dan LRA Gurun, di Daerah Kuala Muda serta LRA Pulau Tuba di Daerah Langkawi.

SADA komited dalam mengatasi isu ini dengan mengambil tindakan seperti berikut antaranya pemantauan rapi dan berkala paras sungai di semua muka sau dan pemantauan kualiti air mentah secara lebih kerap bagi mengawasi kejadian-kejadian  pelanggaran kualiti terutamanya dari aspek bau dan warna.

Agensi itu juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi Kerajaan berkaitan bagi pelaksanaan tindakan mitigasi seperti pelepasan air empangan utama serta pembenihan awan, mengaktifkan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) untuk bekalan air sekiranya paras air sungai dan empangan menjadi terlalu rendah, melakukan pembaikan kebocoran paip agihan utama dan retikulasi dan menyediakan sokongan logistik dalam memobilisasi bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik.

Antara kawasan yang berisiko terjejas sepanjang musim kemarau ini ialah Merbok, Semeling, Tikam Batu, Tanjung Dawai, Pengkalan Bujang, Bedong, Gurun dan Pulau Tuba, Langkawi.

Para pengguna dinasihatkan untuk menjimatkan penggunaan air harian sepanjang musim kemarau ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com