Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri KPDN Kedah beri amaran jangan sorok gula

KPDN Kedah beri amaran jangan sorok gula

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Tindakan tegas menanti individu atau mana-mana pihak yang menyorok bekalan gula sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2024, yang bermula Selasa sehingga 14 Februari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, peniaga dan peruncit diminta agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Jangan sorok barang kawalan termasuk gula, ikut peraturan ditetapkan KPDN. Tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga yang didapati melakukan kesalahan itu

“Seramai 176 penguat kuasa KPDN akan terus melakukan pemantauan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat negeri di sebuah pasar raya di sini, pada Selasa.

Jelas Muhammad Nizam, peniaga yang didapati menyorok barang kawalan boleh disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua, hukuman adalah denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sementara bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, bekalan makanan di pasaran negeri ini juga didapati mencukupi selain tiada kes pembelian panik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com