Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Hayati maksud sebenar Hari Malaysia – MB Kedah

Hayati maksud sebenar Hari Malaysia – MB Kedah

oleh Ammar Haziq
foto UPDA

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita meraikan Hari Malaysia yang ke 57 pada hari ini.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa signifikan Hari Malaysia untuk kita sedangkan kita baru sahaja meraikan hari ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun?

Jika hari ulang tahun kemerdekaan atau Hari Kebangsaan kita sambut secara besar-besaran sebagai tanda kita bersyukur atas kebebasan atau merdeka daripada belenggu penjajahan, hari penubuhan negara kita, Malaysia pada 16 September 1963 juga sebenarnya tidak kurang penting untuk kita semua.

Pada hari itulah tertubuhnya sebuah negara bernama Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak untuk bersama-sama dengan kita di Semenanjung, penggabungan yang didasari semangat dan cita-cita besar rakyat untuk memperjuangkan sebuah negara yang kecil di atas peta tetapi besar dalam jiwa dan semangatnya untuk mendaulatkan sebuah negara bangsa.

Apa yang menjadi inti dalam perjuangan ini ialah semangat kita untuk hidup bersatu padu dalam mempertahankan kedaulatan dan memakmurkan tanah air tercinta.

Namun, agak membimbangkan apabila semangat itu, khususnya dalam hal menjaga dan mengekalkan semangat perpaduan dilihat kian luntur dalam kalangan generasi muda pada hari ini.

Mereka saling cabar mencabar dengan provokasi yang membuta-tuli dalam media sosial seolah-olah tiada apa yang hendak ditakutkan mengenai persengketaan membabitkan isu-isu yang teramat sensitif seperti agama, perkauman dan sebagainya yang jika tidak dibendung, boleh membawa kepada perkara tidak diingini seperti yang banyak berlaku di negara lain.

Sempena Hari Malaysia yang ke 57 pada hari ini, ingin saya mengingatkan rakyat Negeri Kedah Darul Aman terutamanya untuk terus mempertahankan keharmonian dan semangat muhibbah sesama kita, kemesraan dan saling menghormati antara satu sama lain.

Malaysia, tanah air kita didirikan atas semangat perpaduan dan tolak ansur. Itulah yang memberi nilai dan makna pada negara bangsa ini.

Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan warisan semangat ini sampai bila-bila.

Selamat Hari Malaysia.

HAJI MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
16 September 2020

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com