Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional KPLB peruntuk RM19 juta laksana projek bersepadu pembangunan ekonomi kampung 2022

KPLB peruntuk RM19 juta laksana projek bersepadu pembangunan ekonomi kampung 2022

oleh Ammar Haziq
Mahdzir menziarahi
Osman Abdul Karim, 94 yang
sakit tua di Padang Terap pada semalam.

PADANG TERAP, 14 Julai – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan RM19 juta bagi melaksanakan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) tahun ini. 

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, PROSPEK yang melibatkan 16 projek itu dilaksana  menerusi 3 komponen iaitu ekonomi, prasarana asas dan perumahan.

“Buat masa ini, terdapat 13 projek sambungan PROSPEK sedang dibangunkan dan PROSPEK di kawasan Pedu, Padang Terap ini merupakan antara projek baharu yang dilaksanakan oleh KPLB pada tahun 2022.

Projek di Pedu ini telah bermula dan tempoh pembangunannya  sehingga 5 tahun dengan kos keseluruhan berjumlah RM8 juta.” 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas PROSPEK Pedu, di Kampung Padang Setol di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Kamarudin Abd. Akib dan Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Abdul Ghani @ Zulkifli Zainuddin.

Jelas Mahdzir, projek PROSPEK dijangka memberi manfaat kepada lebih 3 ribu penduduk di Mukim Pedu dan Daerah Padang Terap. 

Fasa pembangunannya melibatkan 12 buah kampung di dalam Mukim Pedu yang mempunyai pelbagai aktiviti ekonomi sedia ada dan berpotensi untuk dibangunkan seperti pertanian, penternakan serta industri kecil dan sederhana (IKS). 

Selain itu, sektor pelancongan juga antara aktiviti ekonomi yang telah dikenalpasti bagi pembangunan projek ini. 

“Projek ini akan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) selaku agensi pelaksana dan dibantu oleh Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) selaku agensi pelaksana kajian.

Pengembangan hasil niche product berasaskan tanaman durian merupakan salah satu fokus bagi komponen ekonomi untuk dilaksanakan dalam PROSPEK di Pedu ini”, kata Mahdzir.

Untuk rekod, pelaksanaan PROSPEK telah bermula pada tahun 2018 melibatkan dua projek rintis iaitu PROSPEK Rintis di Kampung Sidam, Kulim, Kedah dan Kampung Pasir Raja, Dungun, Terengganu. 

PROSPEK Rintis Kampung Sidam, Kulim menjalankan aktiviti tanaman jagung  dan pemprosesan produk berasaskan jagung.

Manakala di Kampung Pasir Raja, Dungun melaksanakan projek ternakan ikan air tawar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com