Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Lori bersama 4,500 liter diesel disita

Lori bersama 4,500 liter diesel disita

oleh Ammar Haziq
Lori yang disita oleh KPDNHEP bersama diesel yang berada di dalam tangki tambahannya.

SUNGAI PETANI – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sungai Petani, Kedah berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi diesel dalam satu serbuan yang dilakukan pada jam 12 tengah hari di sebuah stesen minyak di Kota Kuala Muda, dekat sini pada Selasa.


Pengarah KPDHEP Negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan dilakukan sepasukan enam anggota penguat kuasa hasil daripada aduan orang awam dan risikan yang telah dilakukan sejak seminggu yang lalu.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan ke atas stesen minyak berkenaan, terdapat sebuah kenderaan iaitu Lori Jenis Hino dilihat sedang mengisi minyak bersubsidi diesel. 


“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tangki tambahan yang diletakkan dalam badan lori tersebut. Minyak diesel yang diisi ke dalam tangki kenderaan telah disedut naik dengan menggunakan pam ke dalam tangki tambahan. 


“Lori tersebut telah disita bersama 4,500 liter minyak diesel yang telah diisi ke dalam tangki tambahan tersebut. Minyak diesel yang dirampas dianggarkan bernilai RM9,675 manakala motolori tersebut dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya dalam satu kenyataan.


Mengulas lanjut, kes berkenaan adalah hasil daripada Operasi Membanteras Penyelewengan dan Penyeludupan Barang Kawalan di negeri ini.

“Satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diambil yang mana pemandu lori tersebut telah disyaki melakukan kesalahan iaitu menyimpan barangan kawalan berjadual (bahan api diesel) tanpa kebenaran Pengawal Bekalan manakala Pemilik Perniagaan.


“Dia telah disyaki melakukan kesalahan iaitu gagal mematuhi Arahan Pengawal dan Melanggar Syarat Khas Pemegang Lesen Runcit Bahan Api Petrol/Diesel,” ujarnya.

Affendi berkata, pemandu lori dan pengurus stesen minyak terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan siasatan dijalankan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com