Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional Guru besar sekolah pendidikan khas ditahan, disyaki salah guna kuasa beli barangan sekolah

Guru besar sekolah pendidikan khas ditahan, disyaki salah guna kuasa beli barangan sekolah

oleh Ammar Haziq
SPRM

ALOR SETAR, 12 September – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang guru besar sebuah sekolah kebangsaan pendidikan khas di Sungai Petani kerana disyaki menyalah gunakan kedudukannya untuk membeli barangan sekolah, melalui dua syarikat miliknya sendiri.

Sumber memaklumkan, wanita berusia 58 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani kira-kira pukul 1.27 petang tadi.

Katanya, penahanan itu dibuat ketika dia datang ke pejabat tersebut untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Pada 2019 hingga 2021, dia disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan melakukan pembelian barangan sekolah melalui dua syarikat miliknya, yang didaftarkan atas nama dua anak lelakinya berusia 33 dan 31 tahun.

“Anggaran nilai sebut harga yang terlibat adalah RM22,640,” katanya.

Sumber itu memaklumkan, guru besar tersebut telah dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 tanpa deposit kerana perlu menjaga suaminya yang sedang uzur di rumah.

Sementara itu pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut masih berada di peringkat siasatan.

“Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009,” katanya. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com