Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Dua beradik lemas tidak mahir di laut

Dua beradik lemas tidak mahir di laut

oleh Ammar Haziq
Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk tindakan lanjut.

ALOR SETAR – Dua beradik yang ditemukan mati lemas semasa ke laut untuk memukat udang di Kuala Sala pada Selasa dipercayai tidak mahir dengan selok- belok di laut.


Pengawal Keselamatan di Jeti Nelayan Kuala Sala, Mustafa Mat, 62 berkata, mereka baru sahaja ke laut dalam tempoh tidak sampai dua bulan selepas membeli sebuah bot fiber dilengkapi enjin.


Menurutnya, dia mengenali mangsa, Mohd Faudzi Tajuddin, 48, dan adiknya, Mohd Farizan, 41, sejak mereka masih kecil lagi.
“Saya terkejut mendengar berita dua beradik ini hilang selepas bot fiber yang dinaiki mereka dipukul ombak pada pagi tadi di perairan Kuala Sala.


“Keluar sebelum angin ‘ya allah’ saya dengar sebab angin tu cukup kuat lah adik dia seorang lagi tu sempat balik adik fauzi ni abangnya berdua tak sempat balik,” katanya yang kali terakhir berjumpa dua beradik itu pada malam Isnin.


Mustafa berkata, Mohd Faudzi bekerja sebagai tukang rumah manakala adiknya berniaga di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan baru pulang ke kampung.


Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Naim Mat Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.19 tengahari.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dan menemui mayat pertama pada jam 4.20 petang.

Manakala mayat kedua ditemui pada jarak 30 meter di kawasan paya bakau berlumpur di perairan Kuala Sala jam 5.50 petang.

Menurut Mohd Naim, bomba mengalami kesukaran dan cabaran untuk mengeluarkan mangsa disebabkan paras air laut surut dan kawasan berlumpur.

“Air laut surut jadi menyukarkan pihak bomba untuk melakukan operasi penyelamatan dan kita menggunakan strecher dan tali,” ujarnya.

Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com