Friday, 17, May, 2024
Utama Sukan Bank Islam terus mengaum bersama Harimau Malaya

Bank Islam terus mengaum bersama Harimau Malaya

oleh Ammar Haziq
FOTO FAM

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengumumkan lanjutan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyokong pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya. 


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihak bank mengiktiraf peranan penting sukan dalam menggalakkan gaya hidup sihat, membangunkan kemahiran sosial dan menyediakan faedah psikologi untuk masyarakat. Sukan juga memainkan peranan penting dalam menyatupadukan rakyat.

“Justeru, kami berharap kerjasama ini akan memberi inspirasi serta memperkasakan pemain dan bakat muda dalam mempromosikan sukan yang mementingkan semangat berpasukan, disiplin dan menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 2013, Kad Debit-i Bank Islam Visa Team Harimau telah merekodkan 2.1 juta pemegang kad.

“Ini juga termasuk lebih 200,000 pengeluaran Kad Debit-i Bank Islam Visa Team Harimau dari Januari hingga Mei 2023. Saya juga gembira untuk berkongsi bahawa pada April 2023 sahaja, penggunaan kad itu telah menyumbang kepada hampir RM447 juta kepada jumlah keseluruhan perbelanjaan yang menggunakan kad Debit-i Bank Islam,” jelas Mohd Muazzam.

Beliau menambah, Bank Islam berbesar hati diberi peluang untuk menggalakkan pertumbuhan industri sukan negara, khususnya Pasukan Harimau Malaya, yang dipandang tinggi di negara yang begitu meminati sukan bola sepak ini. 


“Kami mengucapkan terima kasih kepada FAM atas kepercayaan mereka dan melanjutkan perkongsian strategik ini. Semoga usaha kita akan terus mengukuhkan industri demi kemajuan negara,” ujar beliau.

Menurut Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, beliau optimis bahawa kesetiaan Bank Islam bersama FAM bukan sahaja memanfaatkan bola sepak negara, sebaliknya dapat menjalinkan kerjasama lebih erat dalam memastikan pulangan atas pelaburan (ROI) membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Umum mengetahui pasukan kebangsaan sentiasa menjadi perhatian dan saya percaya kehadiran Bank Islam bukan sahaja melengkapkan elemen skuad kebangsaan sebaliknya turut menjadi elemen yang dapat membantu meningkatkan kualiti daripada aspek perniagaan,” katanya.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bank Islam dan selaku wakil FAM, kami sangat berbangga kerana dapat terus bekerjasama dengan Bank Islam. Apa yang pasti, kerjasama FAM dan Bank Islam bukan sahaja menunjukkan perkara positif sebaliknya ia bakal menjadi satu penanda aras yang baik khusus daripada sektor ekonomi.”

“Kehadiran Bank Islam telah memberikan satu mesej penting di mana organisasi ini sentiasa menaruh keyakinan tinggi kepada FAM yang sentiasa memberikan potensi serta pendedahan positif bukan sahaja kepada produk mereka tetapi penglibatan mereka di dalam pasukan kebangsaan,” kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com