Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Kesejahteraan rakyat ukuran sebenar kejayaan – PM

Kesejahteraan rakyat ukuran sebenar kejayaan – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan beliau sama sekali tidak terpukau dengan kejayaan yang dicapai negara setakat ini.

Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui ukuran sebenar kejayaan negara terletak pada kemaslahatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Kedudukan prestasi pertumbuhan ekonomi masih bertahan pada 4 peratus, di antara yang terbaik.

“Tetapi ada lagi nikmat dan kejayaan umpamanya penurunan inflasi kurang dari 2 peratusan dan penurunan kadar pengangguran yang sangat rendah.

“(Namun) saya tidak mahu terpukau dengan angka dan data ini. Ini kerana saya akui ukuran sebenarnya ialah tentang kemaslahatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Meskipun peratus rendah tapi bagi yang tertekan dengan kehidupan kos sara hidup masih perlu ditangani,” katanya pada Perutusan Tahun Baharu 2024 pada Ahad.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan agenda untuk memperbaiki tata kelola akan diteruskan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru katanya, tumpuan utama negara pada tahun baru ini adalah untuk mengalih pandangan kepada isu pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.

Menurutnya, keyakinan negara-negara luar hasil lawatan beliau berjaya menghasilkan pelaburan asing kepada Malaysia kira-kira RM350 bilion.
“Tumpuan kita sekarang adalah ke arah mengalihkan pandangan kepada isu pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.

“Keyakinan (pelaburan) ke atas sistem politik dan dasar yang jelas, ekonomi MADANI, peralihan tenaga, transformasi digital, Pelan Perindustrian dan beberapa kerangka dalam Belanjawan menyebabkan keyakinan (pelabur) bertambah dan secara menyeluruh mencecah RM350 bilion,” katanya.

Justeru, Anwar menegaskan untuk memastikan pelaksaannya jauh lebih berkesan, kaedah sedia ada perlu diperbaiki.

Katanya, dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu bersaing, kadar kecepatan, kepesatan dan kelulusan melibatkan semua jabatan perlu dikerah seolah-olah negara berdepan dengan isu keselamatan dan darurat.

Meskipun pemacuan ekonomi ketika ini disifatkan sebagai satu permulaan baik, namun Anwar menggesa semua pihak termasuk Jemaah Menteri dan pasukan penguat kuasa suoaya meningkatkan usaha untuk terus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagah di rantau ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com