Saturday, 27, April, 2024
Utama Negeri Syabu 18.64 kg bagi kegunaan 40,000 penagih dirampas polis Kedah

Syabu 18.64 kg bagi kegunaan 40,000 penagih dirampas polis Kedah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR –  Dadah jenis syabu seberat 18.64 kilogram (kg) bernilai RM671,220 dirampas dalam satu serbuan di sebuah Inap Desa di Sungai Jagung, Sungai Petani, pada malam Rabu.


Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dadah itu berkemungkinan dibawa dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan bekalan mampu digunakan 40,000 penagih.

Menurutnya, dua lelaki berjaya ditahan dalam serbuan yang dilakukan pada jam 11.55 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.


“Ketika serbuan kedua-dua suspek sedang mengeluarkan sebuah kotak dari bonet kereta jenis Honda City.


“Hasil pemeriksaan dalam kotak itu menemui 18 bungkusan plastik berwarna hijau bertulisan ‘refined chinese tea’ berisi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 18.6 kg.

“Turut dirampas sebuah lagi kereta jenis Produa Bezza yang dinaiki seorang lagi suspek,” katanya pada sidang media di IPK Kedah pada Jumaat.


Jelas Fisol, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek berusia 34 dan 35 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine.


Jelasnya hasil semakan mendapati, suspek berusia 34 tahun itu bekerja sebagai peniaga di Alor Setar memiliki tiga rekod jenayah manakala seorang lagi suspek berasal dari Kuala Lumpur tidak bekerja serta turut memiliki dua rekod jenayah berkaitan dadah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek telah direman tujuh hari sehingga 23 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com