Monday, 6, May, 2024
Utama Umum Perluas Projek Bitara Madani, tumpu projek naik taraf fasiliti kesihatan – PM Anwar

Perluas Projek Bitara Madani, tumpu projek naik taraf fasiliti kesihatan – PM Anwar

oleh admin

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Malaysia Madani (MTMM) bersetuju supaya Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) melaksana dan memperluaskan Projek Bitara Madani dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata MTMM memberi tumpuan kepada dua projek baharu Bitara Madani iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memperluas pelaksanaan Gerai Madani.

“Di bawah projek menaik taraf fasiliti, kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan di bawah KKM dengan sasaran kesemua fasiliti akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir tahun 2023,” kata Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata bagi memperluas pelaksanaan Gerai Madani, kaedah penambahbaikan yang diguna pakai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan untuk menaik taraf 20 medan selera di bawah PBT terpilih.

Anwar berkata tindakan penambahbaikan itu akan mengubah penampilan dan kemudahan agar lebih bersih dan indah demi keselesaan rakyat.

Perdana Menteri berkata projek-projek Bitara Madani sentiasa mendukung rukun Malaysia Madani dan menggunakan pendekatan “The Whole of Government” (pendekatan keseluruhan kerajaan) dengan ketua projek terdiri daripada pegawai kanan perkhidmatan awam di kementerian atau jabatan yang berbeza dengan kementerian atau jabatan yang bertanggungjawab terhadap projek yang dikenal pasti.

Anwar berkata ini bagi memastikan setiap pelaksanaan projek Bitara Madani dinilai daripada perspektif berbeza dan lebih menyeluruh.

“Dengan tumpuan kepada kos yang rendah, pelaksanaan penyelesaian segera dan penggunaan sumber sedia ada, kesemua projek di bawah Bitara Madani selari dengan anjakan reformasi penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, berintegriti dan berkualiti dalam memberi khidmat kepada masyarakat serta berupaya memberi kesan secara langsung kepada rakyat,” kata beliau.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata satu daripada inisiatif Bitara Madani, iaitu bagi mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan telah dilaksanakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di daerah Klang, Selangor.

Projek rintis yang dipacu oleh pasukan STAR itu menyaksikan purata kedatangan pesakit zon hijau ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR telah mencatatkan penurunan kedatangan pesakit sebanyak 54 peratus.

Sehubungan itu Dr Zaliha berkata KKM memutuskan untuk memperluas skop projek rintis tersebut ke lima klinik kesihatan lain yang telah dipilih melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bharu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com