Sunday, 28, April, 2024
Utama Umum KDA FC diberikan tempoh sehingga 5 Mac, selesaikan isu gaji 2023

KDA FC diberikan tempoh sehingga 5 Mac, selesaikan isu gaji 2023

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA) FC diberikan masa oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) sehingga 5 Mac ini bagi menyelesaikan tunggakan gaji bagi musim 2023.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Shamsudin berkata, untuk penyelesaian tunggakan gaji tersebut, pengurusan kelab an Sri Dr. Mohd Daud Bakar telah mendapat kelulusan pembiayaan dana dari institusi tertentu untuk tujuan penyelesaian tunggakan tersebut.

Menurutnya, walaubagaimanapun, dana tersebut hanya akan ditunaikan seawal bulan April ini.

“Rentetan dari kekangan untuk memenuhi keperluan sebelum tarikh akhir penyelesaian yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL FIB, KDA FC sedang bertungkus lumus mendapatkan dana pendahuluan bagi tujuan pembayaran segera kepada semua pemain dan pegawai semua pasukan KDA FC yang bertanding dalam Liga Malaysia, serta staf pentadbiran kelab,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Shahrul, walaupun kelab bergelut dengan isu kelestarian kewangan musim lepas, pihak pengurusan tetap fokus melakukan segala persiapan pasukan-pasukan KDA FC untuk musim 2024-2025.

Menurutnya, proses persiapan kini sudah mencapai tahap 85 peratus namun segala langkah yang diatur bergantung kepada keutamaan penyelesaian tunggakan kewangan tahun 2023.

“Justeru, pengumuman berkenaan pasukan serta penajaan hanya akan dilakukan selepas isu utama diselesaikan dan pasukan Liga Super KDA FC merancang untuk mula berlatih bagi pra-musim 2024-2025 pada minggu hadapan.

“Lembaga Pengarah berasa amat terharu dengan komitmen yang diberikan oleh semua individu yang terlibat dengan isu kewangan ini kerana terus komited, masih setia bersama KDA FC,” kata beliau.

Tambahnya, kerjasama diberikan dan memahami situasi semasa kelab, mengekalkan keharmonian bersama pengurusan, pemain dan pegawai serta staf pentadbiran dalam isu ini memberi motivasi dan petanda positif untuk penyelesaian kemelut yang berlaku.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com