Sunday, 28, April, 2024
Utama Umum Dr Wan Azizah terima Ijazah Kehormat Unisel

Dr Wan Azizah terima Ijazah Kehormat Unisel

oleh Ammar Haziq

KUALA SELANGOR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains, Politik dan Kemasyarakatan.

Anugerah itu diberikan sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) kali ke-17 di Kampus Bestari Jaya di sini, hari ini.

Ijazah khas itu disampaikan oleh Canselor Unisel, Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj.

Penganugerahan itu diberikan kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang telah banyak menyumbang kepada idea dan sumbangan serta keprihatinan kepada Unisel.

Dr Wan Azizah berkelulusan ijazah perubatan dalam bidang Oftalmologi di Royal College of Surgeons, Dublin, Ireland merupakan anak Melayu pertama dianugerahkan pingat emas MacNoughton-Jones Gold Medal’ di atas kecemerlangan akademik.

Sepanjang menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020, Wan Azizah sering kali berkunjung ke Unisel untuk melihat sendiri perkembangan universiti ini.

Beliau turut merasmikan Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 pada 11 Oktober 2018 di Auditorium Za’ba, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FPSS), Unisel Kampus Bestari Jaya serta Karnival Komuniti Prihatin dan Hari Terbuka 2018 pada 1 September 2018 di Padang Awam, Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor.

Dr Wan Azizah semasa dalam ucapannya memberitahu, penganugerahan itu bukanlah pengiktirafan kepada beliau seorang tetapi semua pihak yang telah membantu dan memberi sokongan kepada keluarga sama ada dalam politik mahupun kehidupan peribadi.

“Saya berpeluang menabur bakti sebagai seorang doktor merawat pesakit yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kemudiannya, keadaan telah menyebabkan saya menceburi bidang politik, yang mana kedua-dua bidang ini memerlukan sokongan dan kepercayaan rakyat untuk berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor Unisel, Professor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, sumbangan besar dan ketokohan Dr Wan Azizah selayaknya menerima pengiktirafan berkenaan.

“Eksekutif dan Senat Unisel memutuskan supaya tokoh ini dicadangkan sebagai penerima Ijazah Kehormat pada Istiadat Konvokesyen Ke-17, 2023,” katanya.

Mohammad Redzuan berkata, Dr Wan Azizah adalah tokoh yang amat dikenali sebagai seorang wanita berjiwa kental dan pemimpin cekal.

“Selain merupakan wanita pertama menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, beliau juga adalah wanita pertama yang pernah memimpin sebuah parti politik besar dan berpengaruh, selain pernah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen,” katanya.

Seramai 1,306 graduan hadir pada istiadat konvokesyen itu merangkumi 582 graduan yang mengikuti pengajian peringkat diploma, 670 graduan peringkat Ijazah Sarjana Muda, 36 graduan peringkat Ijazah Sarjana, 18 graduan peringkat Kedoktoran.

Istiadat konvokesyen itu berlangsung selama dua hari iaitu pada 9 dan 10 September 2023.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com