Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Sistem kuota untuk pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan dikekalkan

Sistem kuota untuk pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan dikekalkan

oleh admin

SINTOK:Sistem kuota untuk pelajar Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan perlu dikekalkan bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pelajar Melayu di IPT termasuk dalam jurusan tertentu akan tempang atau tidak seimbang sekiranya sistem itu tidak dikekalkan.

“Beberapa prinsip dalam Perlembagaan negara tentang jaminan, peluang supaya anak-anak Melayu dan Bumiputera itu diberikan tempat yang mampu bersaing, ini kita kekalkan,” katanya semasa menjawab soalan seorang pelajar semasa program Temu Anwar Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini semalam.

Mengulas lanjut Anwar berkata, walaupun kuota dikekalkan, ia tidak bermakna sistem meritokrasi dimatikan dan jika ada pelajar dalam kalangan anak-anak bukan Melayu yang cemerlang, kerajaan perlu mencari kaedah untuk memberikan mereka peluang dan tidak disisihkan.

YouTube player

“Program kuota ini saya setuju kekalkan tetapi kita kena cari jalur lain untuk memberi ruang kepada anak-anak bukan Melayu, bukan Bumiputera yang pintar, yang keputusannya baik supaya jangan nampak tersisih,” katanya.

Anwar menegaskan sekiranya kerajaan mengambil tindakan mengetepikan dasar kuota tersebut ia dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan yang mungkin dijadikan sebagai isu dalam politik.

Tambah Perdana Menteri, beliau telah mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek agar mengekalkan sistem itu dan pada masa sama membuka ruang dan peluang kepada para pelajar yang mendapat keputusan baik untuk dibantu mereka melanjutkan pengajian.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, Malaysia merupakan antara negara yang terbaik layanannya kepada kumpulan minoriti, walaupun mengakui ada perkara-perkara yang boleh diperbaiki.

“Ada negara lain yang minoriti umat Islam langsung tidak mendapat tempat, tapi jangan itu kita jadikan sebagai contoh, kalau itu dijadikan contoh kita pun lembab macam dia, lemah macam dia, zalim macam dia,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com