Thursday, 16, May, 2024
Utama Nasional Mesyuarat pertama kaji skim perkhidmatan, saraan penjawat awam dalam masa terdekat

Mesyuarat pertama kaji skim perkhidmatan, saraan penjawat awam dalam masa terdekat

oleh admin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan mempengerusikan mesyuarat pertama bagi mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam dalam masa terdekat.

Mengakui kadar upah dan elaun penjawat awam ketika ini masih terlalu rendah, Perdana Menteri berkata, belum ada jawatankuasa khusus dipengerusikan pemimpin tertinggi negara bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata mesyuarat itu akan diadakan sebelum enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Ogos ini.

“Saya mengakui dan selepas lebih 10 tahun, belum adapun jawatankuasa yang harus dipengerusikan Perdana Menteri untuk mengkaji semula skim saraan penjawat awam.

“Jadi, insya-Allah dalam satu atau dua minggu ini, saya akan mempengerusikan mesyuarat pertama bersama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk meneliti keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cakna MADANI Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Program tersebut turut hadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar memberitahu, beliau akan mencadangkan agar peningkatan berperingkat dilaksanakan bersesuaian kedudukan kewangan negara.

Beliau juga memberi jaminan akan memberikan yang terbaik, munasabah dan adil demi kesejahteraan penjawat awam di negara ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com