Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional PM adakan sidang video bersama Elon Musk

PM adakan sidang video bersama Elon Musk

oleh admin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan secara maya dengan usahawan aeroangkasa terkemuka dunia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX dan Tesla Inc, Elon Musk hari ini.

Dalam persidangan video tersebut, PM Anwar mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat itu di negara ini dan juga kesediaan usahawan tersebut untuk datang ke Malaysia.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah atas pembukaan ibu pejabat Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini selain menyatakan sokongan untuk usaha sebegitu.

Selain itu, mereka turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink di Malaysia.

Perkhidmatan itu mampu menyumbang kepada capaian internet lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minimum bagi meningkatkan rangkaian internet global.

Jelas Anwar, inisiatif itu akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.

“Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan video itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com