Friday, 10, May, 2024
Utama Politik Jangan politikkan isu kalimah Allah – PM Anwar

Jangan politikkan isu kalimah Allah – PM Anwar

oleh admin

SEREMBAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi mengingatkan pihak-pihak tertentu agar tidak mempolitikkan isu kalimah Allah.

Anwar berkata peringatan itu turut dizahirkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kepada beliau baru-baru ini.

“Kita akan cuba perkemaskan isu kalimah Allah ini untuk kita bawa ke Majlis Raja-Raja dan keputusannya jangan jadikan ini sebagai isu politik, ini arahan baginda… raja-raja akan memperkemaskannya atas cadangan Kerajaan Persekutuan.

“Apa Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata? Masih guna isu kalimah Allah, mereka ini soal lawan raja terus terang,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Taman Tuanku Jaafar di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon Pakatan Harapan bagi DUN Paroi iaitu Norwani Ahmat.

Media melaporkan Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, dalam satu ceramah di Kapar, Klang, Selangor baru-baru ini mendakwa tindak-tanduk kerajaan dalam menangani isu kalimah Allah ketika ini menjelaskan ia diterajui oleh bukan Islam.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Muhyiddin sebagai tidak menghormati nasihat Majlis Raja-Raja dan tidak menghiraukan larangan pihak berkuasa supaya semua ahli politik tidak menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) pada Pilihan Raya Negeri kali ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com