Friday, 10, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan cadang wujud jenis sekolah baharu untuk anak orang paling miskin

Kerajaan cadang wujud jenis sekolah baharu untuk anak orang paling miskin

oleh admin

KEPALA BATAS – Kerajaan bercadang muwujudkan jenis sekolah baharu untuk anak kepada golongan paling miskin di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh yang memfokuskan kepada golongan terbabit.

Cadangan penubuhan sekolah itu, katanya, dibuat bagi membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan, walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.

“Ini (cadangan memperkenalkan jenis sekolah baharu bagi golongan paling miskin) akan memberi makna manusiawi dan keadilan kepada mereka.

“Akses dan peluang (perlu diberikan) secara saksama bagi membolehkan tiada mana-mana golongan yang tercicir. Kita ada pendemokrasian mutu pendidikan bagi membolehkan semua berhak (mendapatkan pendidikan).

“Ketika ini (semua pihak) berhak. Nama sahaja berhak tetapi sekolah di Manik Urai, Kelantan; Kapit, Sarawak; Pulau Pinang dan Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak tetap ada kesenjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Anwar: Bicara Pendidikan Madani yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengakui, pengundi muda dalam kelompok usia antara 18 hingga 25 tahun memiliki pengaruh besar bagi menentukan corak politik negara.

Sehubungan itu, katanya, kelompok berkenaan wajar membuat penilaian sebaiknya dalam menentukan bagaimana mereka mahu mencorakkan masa depan negara menerusi kuasa undi dimiliki mereka.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com