Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Kerajaan akan tambah peruntukan inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran p-hailing

Kerajaan akan tambah peruntukan inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran p-hailing

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA – Peruntukan inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi kumpulan penghantar perkhidmatan parcel hailing (p-hailing) akan ditambah dalam usaha kerajaan membantu meningkatkan pendapatan golongan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai setelah beliau mengadakan perjumpaan dengan 24 syarikat pengendali p-Hailing di Pejabat Perdana Mentero (PMO), petang tadi.

“Perbincangan antaranya berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran (upskilling).

“Saya turut mendengar pandangan dan aduan daripada syarikat pengendali yang beroperasi di luar Lembah Klang yang tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Anwar berkata, kesemua syarikat pengendali telah memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak penghanta berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah.

“Penelitian lanjut ini penting, bahawa dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat,” kata Anwar.

Pertemuan hari ini merupakan susulan komitmen yang Perdana Menteri telah berikan semasa perjumpaan beliau bersama rakan-rakan penghantar pada 22 Julai lalu.

“Ikhtiar ini membuktikan Kerajaan peka dan mengambil berat akan kepentingan semua pihak dalam meningkatkan penjanaan pendapatan rakyat dan memastikan kesinambungan perniagaan,” katanya.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar serta para pegawai kanan kementerian, dan lima wakil daripada penghantar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com