Wednesday, 8, May, 2024
Utama Politik Anwar, Zahid ke Hulu Kelang Khamis ini untuk ‘ajar’ Si Kitol

Anwar, Zahid ke Hulu Kelang Khamis ini untuk ‘ajar’ Si Kitol

oleh admin

SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan sekali lagi turun berkempen di Hulu Kelang pada Khamis ini.

Tegas Anwar, beliau dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu akan turun ke sana bagi ‘mengajar pengkhianat’ yang bertanding di sana.

Beliau berkata demikian ketika memperkenalkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang mana kerusi itu turut direbut pemimpin parti itu, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek yang bertanding Bebas.

“Ampangan ini penting kerana ada pengkhianatan dari dalam Keadilan (PKR). Di mana-mana saya ajar, satu hal yang tidak boleh diizinkan, pengkhianatan dalam perjuangan. Sebab itu saya dan Datuk Seri Ahmad Zahid akan ke Hulu Kelang sekali pagi pada Khamis malam untuk mengajar si pengkhianat, Si Kitol dan Raja Mendeliar.”

“Dalam sejarah budaya Melayu, tidak ampunkan pengkhianat,” katanya.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama namun dipercayai kenyataan itu ditujukan kepada calon Perikatan Nasional (PN) di DUN tersebut, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin berdepan calon daripada PH, Juwairiya Zulkifli, yang juga Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada pilihan raya lalu, DUN Hulu Kelang dimenangi calon Amanah, Saari Sungib mewakili PH.

Saari menang dengan majoriti 15,349 undi menewaskan calon BN Ismail Ahmad dan calon Pas Farhan Kamalul Hysham.

Di Negeri Sembilan, DUN Ampangan menjadi antara kerusi panas selepas penyandangnya yang juga ahli PKR, Mohamad Rafie, bertanding sebagai calon Bebas menentang Tengku Zamrah dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin daripada PN.

Dalam Pilihan Raya Negeri kali ini, seramai 20,992 pengundi berdaftar akan mengundi nanti.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Mohamad Rafie bertanding mewakili PH menang dengan majoriti 1,360 undi di DUN berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com