Monday, 29, April, 2024
Utama Nasional Masa berpolitik tamat, kini masa kibar Jalur Gemilang

Masa berpolitik tamat, kini masa kibar Jalur Gemilang

oleh Ammar Haziq

SEREMBAN: Rakyat di negara ini diminta untuk menyemarakkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata semangat cintakan negara tidak boleh hanya timbul sewaktu sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang semata-mata sebaliknya ia perlu berterusan demi perpaduan negara.

“Kita baru sahaja selesai PRN termasuk di Negeri Sembilan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah ingatkan bahawa (masa untuk) berpolitik selesai, dan marilah kembali bersama sebagai sebuah negara maju ke depan.

“Saya harap lebih ramai mengibarkan Jalur Gemilang…dulu angkat bendera parti, sekarang bendera Malaysia,” katanya ketika berucap melancarkan Semarak Gemilang Malaysia MADANI OHMYDIN! Meriah Bersama, sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Ulang Tahun MYDIN ke-66, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Ameer Ali Mydin.

Fahmi berkata, rakyat Malaysia di pelbagai peringkat umur terutama kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan, juga perlu sentiasa dipahatkan dengan rasa cinta kepada negara.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan semua pihak termasuk syarikat untuk bersama-sama dengan kerajaan, melaksanakan program yang mampu meningkatkan rasa cinta kepada negara, sekali gus menyuburkan semangat Malaysia MADANI dalam kalangan rakyat.

“Peluang kerjasama strategik seperti yang terjalin hari ini, perlulah diteruskan pada masa akan datang dengan menerokai peluang dan pendekatan program yang lebih pelbagai.

Pendekatan menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan di kompleks beli-belah perlu dipergiat.

“Semua pihak harus menyedari bahawa selain berkeupayaan menjentik rasa cinta terhadap tanah air melalui aktiviti santai yang dijalankan, peluang dan program yang dilaksanakan juga berupaya untuk menjana ekonomi negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com