Monday, 6, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan mampu tangani isu 3R dimainkan pembangkang

Kerajaan mampu tangani isu 3R dimainkan pembangkang

oleh admin

MUAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu agama, raja dan kaum (3R) yang konsisten dimainkan pembangkang terutama ketika musim pilihan raya sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pelabur asing yang berminat membuka operasi di negara ini.

Katanya, selain 3R, faktor kestabilan politik Kerajaan Perpaduan dan hala tuju ekonomi juga antara perkara dibangkitkan pelabur sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.

Bagaimanapun, tegas Perdana Menteri, pembukaan ibu pejabat syarikat kenderaan elektrik terkemuka dunia, Tesla di Cyberjaya, Selangor dan pelaburan tambahan sebanyak RM25 bilion syarikat semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim, Kedah membuktikan keupayaan kerajaan dalam menangani isu berbangkit.

Kata Anwar, beliau percaya majoriti rakyat negara ini tidak termakan dengan permainan politik 3R pembangkang kerana yakin dengan hala tuju direncanakan Kerajaan Perpaduan.

“Dia (Infineon) tanya saya, ini ada perkembangan orang guna kaum dan agama dan kemudian telah mempengaruhi sebahagian rakyat. Saya kata ada, memang ada masalah sebab kita bawalah cerita apa pun, dia bawa balik Islam tak selamat, Melayu habis, orang Melayu sekarang dah jadi miskin, dulu kaya semua.

“Dan semua DAP kuasai, itu ada di kampung-kampung diceritakan. Tapi saya kata, saya yakin majoriti rakyat akan faham dan tetap bersama Kerajaan Perpaduan. Sebulan lepas itu, dia balik ke Bonn, Jerman lembaga pengarah mesyuarat dan keputusan dibuat €5 bilion hampir RM20 bilion dilabur di Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dewan Terbuka Serbaguna Taman Desa di sini, malam tadi.

Pada Mac lalu, media melaporkan melaporkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan elektrik bateri (BEV) ke Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rentetan itu, Tesla bakal menubuhkan ibu pejabat, pusat pengalaman, pusat servis dan rangkaian Superchargernya sebagai permulaan pelaburan mereka di negara ini.

Menurut Tengku Zafrul, kehadiran Tesla bakal mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran sederhana dan tinggi buat rakyat.
Dalam pada itu, Infineon mengumumkan rancangan syarikat untuk membina kilang di Kulim bagi mengeluarkan 200mm Power Fab SiC (silicon carbide) terbesar di dunia.

Syarikat itu akan membuat pelaburan tambahan sebanyak €5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang dalam fasa kedua pembinaan modul tiga.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com