Wednesday, 8, May, 2024
Utama Nasional Penyertaan Malaysia di sidang kemuncak perkukuh Kepusatan ASEAN – PM

Penyertaan Malaysia di sidang kemuncak perkukuh Kepusatan ASEAN – PM

oleh Ammar Haziq

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap penyertaan Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 di sini akan mengukuhkan lagi Kepusatan ASEAN di rantau Indo-Pasifik serta menggalakkan keterangkuman dan keterbukaan ASEAN dalam menjalin hubungan dengan rakan luar.

Beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di ibu kota Indonesia semalam bagi menghadiri sidang kemuncak yang akan bermula hari ini hingga 7 Sept.

“Platform ini dapat menggalakkan kebersamaan, keamanan dan kestabilan tatkala menopang tantangan dan kebhinekaan (kepelbagaian) evolusi geopolitik serantau yang kian mencabar tika ini,” tulisnya di akaun X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Anwar berkata platform itu juga akan digunakan bagi menyatakan hala tuju kerajaan berkaitan isu glokal yang terkait selain menyertai beberapa siri sidang kemuncak dalam mengukuhkan jaringan diplomatik yang sekian lama terjalin dengan rakan-rakan ASEAN.

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan Rakan Dialog ASEAN antaranya Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

Selain acara rasmi, Perdana Menteri akan bertemu sahabat-sahabat Indonesia dalam ‘Program Temu Anwar’ yang buat julung kalinya diadakan di luar Malaysia.

“Moga semua yang dirancang dan diatur ini berjalan dengan lancar dan mendapat keredaan-Nya, insya-Allah,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com