Wednesday, 1, May, 2024
Utama Umum “Saya salah, saya minta maaf” – Ustaz Ebit

“Saya salah, saya minta maaf” – Ustaz Ebit

oleh Wartawan Kedah Gazette
Ustaz Ebit sempat memberi nasihat kepada anak dan cucu warga emas, Ishak Darus sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur hari ini.

ALOR SETAR – “Saya salah, saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki,” itulah ciapan penceramah agama terkenal, Ustaz Ebit Lew dalam facebooknya hari ini.

Beliau memohon maaf tersebut kepada kerajaan negeri dan Jabatan Masyarakat Malaysia (JKM) serta Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) atas tindakannya datang membantu keluarga, Ishak Darus yang sebelum ini tinggal di Lorong Gedebang, Jalan Langgar di sini.

Menurutnya, beliau juga memohon maaf dengan kejiranan lama keluarga tersebut.

“Saya cuma ingin kasih sayang buat mereka. Saya cuma tak boleh tahan (tengok) mereka duduk situ.

“Sedih sangat menangis jer. Saya sayang semua. Saya sayang anak-anak dan pakcik makcik tu mereka baik sangat dari mula sampai saya nak balik tadi. Sorrylah yer. Saya salah saya minta maaf. Saya tak buat apa pun,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Ebit juga mengucapkan terima kasih kepada LZNK dan JKM yang selama ini membantu keluarga ini dengan memberi pelbagai bantuan.

“Terima kasih jiran lama keluarga Pak Aq (Ishak) yang baik banyak membantu mereka. Mereka selalu membantu menghantar makanan dan lain-lain.

“Terima kasih pihak Masjid Kariah yang ambil berat hal mereka. Terima kasih kerajaan negeri Kedah yang membantu mereka selama ini.

“Mereka semua dah bantu banyak sangat. Setitik sahaja usaha saya berbanding mereka semua,” ujarnya lagi.

Ustaz Ebit menambah, beliau bersyukur keluarga tersebut sedia berpindah ke rumah baru yang lebih selesa dari pondok usang dan menyedihkan yang didiami mereka lebih 15 tahun lalu.

“Saya dapat beri hadiah kasih sayang saya buat keluarga ini. Dapat beri mereka rumah baru selesa takyah bayar,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut merayu kepada orang ramai supaya jangan menghina keluarga berkenaan

“Ujian mereka. Ujian kita. Kita sebuah keluarga,” ujarnya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com