Tuesday, 30, April, 2024
Utama Politik Ada pihak cemburu, mahu pecahkan Kerajaan Perpaduan

Ada pihak cemburu, mahu pecahkan Kerajaan Perpaduan

oleh Ammar Haziq

BENTONG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ada pihak tidak senang dan mahu pecahkan Kerajaan Perpaduan kerana cemburu dengan kekuatan gabungan itu.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata ini kerana kerjasama melibatkan PH bersama Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah satu gabungan yang mantap.

“Kerana apa nak pecahkan, (kerana) mereka cemburu, kerana sudah berapa lama (di negara ini) kita belum ada kekuatan yang sebegitu rupa, memang ada usaha yang mahu pecahkan gabungan ini.

“Tapi yang penting Kerajaan Perpaduan ini stabil, untuk apa? Untuk kita bangkitkan ekonomi, untuk apa? Untuk bawa pelaburan luar masuk, untuk apa? Untuk kita bela nasib rakyat, pelabur pun dah yakin dengan Kerajaan Perpaduan, jadi jangan kacau, jangan rosakkan. Nak kacau tunggu empat tahun lagilah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI di Dataran Simpang Pelangai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini pada malam Isnin.

Turut hadir Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon BN bagi PRK DUN Pelangai Datuk Amizar Abu Adam.

Tambah Anwar kebersamaan di dalam Kerajaan Perpaduan bukan sahaja berjaya memberi kestabilan politik, malah berupaya menghasilkan dasar yang jelas untuk pembangunan negara.

Katanya dalam tempoh sembilan bulan pemerintahan, Kerajaan Perpaduan berjaya membawa manfaat seperti dasar ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Malah pelaburan tahun ini pun adalah yang paling tinggi dalam sejarah kita, dan ingat ini belum pun hujung tahun lagi,” katanya.
Anwar turut menzahirkan keyakinan BN akan mampu mempertahankan kerusi DUN Pelangai.

PRK DUN Pelangai pada 7 Okt ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com