Sunday, 5, May, 2024
Utama Nasional Tiada tindakan tegas, dunia benarkan ‘pembunuhan beramai-ramai’ rakyat Palestin

Tiada tindakan tegas, dunia benarkan ‘pembunuhan beramai-ramai’ rakyat Palestin

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dunia seolah-olah membenarkan jenayah pembunuhan beramai-ramai sekiranya tiada sebarang tindakan tegas diambil untuk membela rakyat Palestin dan mempertahankan bumi Gaza.

“Apa yang berlaku di Gaza dalam beberapa hari ini kalau dunia tidak berupaya (mengambil tindakan tegas) ialah dunia mengizinkan pembunuhan ramai-ramai ke atas rakyat Gaza dan Palestin,” kata Anwar ketika memberi penerangan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau dalam masa yang sama menegaskan, sesuatu yang lebih segera perlu dilakukan kerana negara-negara Barat dan Eropah telah mengambil sikap kepura-puraan dan keras terhadap Rusia berhubung isu Ukraine dan mengizinkan kezaliman.

“Setiap persoalan dalam pertemuan dan perbincangan, yang mereka ingin tahu daripada kita ialah tindakan Malaysia harus mengecam Hamas.

“Saya beritahu kita dari segi dasar memang ada hubungan dengan Hamas, dari dulu dan diteruskan.

“Oleh demikian, kita tidak bersetuju dengan sikap mereka untuk menekan kerana Hamas juga menang di Gaza melalui pilihan raya bebas dan rakyat Gaza memilih mereka untuk memimpin,” tambah Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Malaysia berpendirian untuk bersama negara-negara jiran, Arab dan lain-lain termasuk China dan Rusia, yang disifatkan sebagai lebih menunjukkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin susulan kekejaman rejim Zionis.

Ujarnya, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir diberi mandat penuh untuk berbincang dan mengambil keputusan apa sahaja yang mungkin dalam menyegerakan bantuan kemanusiaan.

Selain itu, beliau memaklumkan akan berangkat ke Riyadh, Arab Saudi pada Khamis ini, bagi menghadiri persidangan tetap di antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN, bagi mengadakan perbincangan khusus mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel.

Selain itu, Zambry juga akan berangkat ke Jeddah malam ini, atas undangan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi sidang berkenaan.

“Putera Mohammed menelefon saya beberapa hari lalu, meminta saya sambung sehari lagi pada 21 Oktober supaya diadakan perbincangan dan acara rasmi di Arab Saudi.

“Saya akan berbincang dengan teman lain, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Mesir dan Turki, sama ada perlu untuk mengadakan beberapa pertemuan lain dengan pemimpin negara lain,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com