Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Pelajar Palestin bimbang nasib keluarga di Gaza

Pelajar Palestin bimbang nasib keluarga di Gaza

oleh Ammar Haziq

SINTOK – “Sejak serangan bom oleh rejim Zionis di Gaza meletus, hampir setiap jam saya menghubungi keluarga di Palestin untuk bertanyakan perkembangan mereka,” kata Hamza Nasri M Alifranji, 19, pelajar Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kata anak kedua daripada empat beradik itu, adakalanya dia terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan respon perkembangan semasa ahli keluarganya di Rimal.

Menurutnya, dia juga terpaksa mendapatkan bantuan rakan-rakan di sana untuk menghubungi keluarganya bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat.

Hamza berkata, setiap hari dia memikirkan keadaan keluarga dan bersyukur sehingga kini ibu bapa dan adik-beradik lain selamat meskipun mereka tidak tinggal di dalam pangsapuri, sebaliknya berlindung di kawasan parkir kerana bimbang akan keselamatan diri.

“Sekarang arahan dikeluarkan supaya penduduk Gaza mengosongkan kediaman masing-masing tetapi keluarga saya tidak berpindah kerana mereka tidak mahu Nakba dan insya-Allah mereka akan hidup.

“Saya berdoa kemelut atau perang yang melanda ini akan berakhir dan rakyat Palestin selamat. Saya juga berharap kami dapat membina semula negara ini dan dapat tinggal bersama keluarga masing-masing tanpa sebarang tekanan, takut, kerisauan dan dapat menikmati kehidupan yang aman,” katanya yang telah menyaksikan peperangan meletus sejak berusia empat tahun.

Tambahnya, dia pernah melihat sendiri di depan mata apabila bangunan kediaman jirannya musnah teruk akibat letupan bom pada jarak kira-kira 300 meter sahaja hingga dia merasakan gegaran kuat, selain menyebabkan tingkap rumahnya pecah.

Israel pernah menyerang Rimal dalam perang terakhir di Gaza pada 2021, bagaimanapun serangan kali ini lebih berskala besar yang merosakkan banyak harta benda.

Hamza berkata, selepas tamat pengajian nanti dia ingin kembali ke Palestin dan berbakti kepada rakyat di sana dengan mengajar mereka setelah menimba ilmu dan pengalaman di UUM.

“Saya berterima kasih kepada rakyat di negara ini yang sangat baik dan saya menganggap Malaysia sebagai ‘rumah’ kedua kerana tidak membuatkan saya seperti orang asing,” ujar anak kepada pasangan suami isteri, Nasri M Alifranji, 55, seorang doktor gigi, dan Rima Alrayes, 49, surirumah.

Selain Hamza, seorang lagi pelajar dari Palestin, Islam Mohammed Hashim Alhadmi, 21, pelajar Sarjana Muda Keusahawanan turut pernah melalui situasi sama akibat peperangan.

Anak muda dari Hebron itu berkata, tentera Israel pernah memecah masuk kediaman mereka pada waktu malam dan merosakkan harta benda di dalamnya.

“Kami melalui situasi yang berbeza berbanding dengan penduduk di Gaza kerana kawasan didiami berhampiran dengan peneroka haram Yahudi dan tentera Israel di mana mereka boleh memasuki mana-mana rumah pada bila-bila masa walaupun pada waktu malam.

“Mereka juga pernah memusnahkan kereta abang saya, namun tiada apa mampu dilakukan ketika itu kerana kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang tindakan mereka,” ujar anak kedua dari empat beradik itu.

Islam berkata, dia pernah terputus hubungan dengan keluarga, bagaimanapun dimaklumkan mereka dalam keadaan baik malah ibu bapanya meminta dia menjaga diri sepanjang berada di Malaysia.

Pelajar Semester 5 itu turut melahirkan kesedihan apabila mengetahui ada antara rakan dan jiran yang terkorban dalam peperangan tersebut.

“Saya harap Palestin akan bebas dan kami dapat menjalani kehidupan sebagai orang biasa, hidup tanpa gangguan dari orang asing dan mendapatkan kembali tanah serta rumah yang dimiliki nenek moyang,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com