Sunday, 28, April, 2024
Utama Nasional Bantuan untuk rakyat Gaza, bekalkan barang yang diperlukan

Bantuan untuk rakyat Gaza, bekalkan barang yang diperlukan

oleh Ammar Haziq

KAHERAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menasihatkan pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza, supaya menyalurkan bantuan berasaskan keperluan.

Perdana Menteri berkata walaupun beliau mengakui niat NGO dan pasukan sukarelawan berkenaan baik, namun perbincangan dengan pihak berkaitan perlu dibuat sebelum menyalurkan bantuan, bagi memastikan bantuan itu benar-benar bermanfaat kepada mangsa.

“Jangan beli ikut selera kita, ini masalah badan-badan yang menganjurkan, niatnya baik, tetapi kadang-kadang yang dibeli yang orang tidak perlukan atau dia tentukan, tidak boleh, kita kena dengar sendiri apa yang orang Gaza nak.

“Ubat, ubat pun ada beberapa jenis ubat, ubat mesti label dengan betul…Oleh yang demikian, ada beberapa kaedah yang harus dipatuhi. Kemudian makanan begitu juga, mereka tiada upaya masak, jadi (perlukan) makanan siap, dalam tin, ada yang beri maklumat kalau mi segera tu, dia tak makan.

“Jadi dalam hal ini, jangan beli sehingga kita tahu (apa yang rakyat Gaza perlukan),” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas pertemuannya dengan Presiden Persatuan Bulat Sabit Merah Mesir Dr Ramy el-Nazer, yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan Exco Mercy Malaysia Azura Ibrahim.

Sementara itu, Anwar mengingatkan badan-badan yang tidak berdaftar, tidak telus dan tidak memiliki akaun yang teratur, supaya tidak mengutip derma bagi tujuan kebajikan kerana ia akan merugikan masyarakat Gaza yang memerlukan.

Mengenai bantuan pakaian kepada masyarakat Gaza, Anwar berkata kerajaan Malaysia akan menghantar keperluan berkenaan menggunakan pesawat ke Mesir, sebelum menyerahkannya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah untuk dihantar ke Gaza.

“Saya sebut dengan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi tadi, kita minta keizinan kerajaan Mesir dan beliau telah memberi pengakuan untuk menyegerakan kelulusan (penghantaran bantuan) dan memindahkan kepada bulan sabit (Persatuan Bulan Sabit Merah) atau badan-bandan lain yang kita iktiraf,” katanya.

Mengenai lawatannya ke Riyadh, Turkey dan Mesir, Anwar berkata banyak pengikitirafan diberikan kepada Malaysia semasa lawatannya, termasuk pihak media yang mengadakan temuramah eksklusif dengan beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com