Saturday, 4, May, 2024
Utama Nasional Jentera kerajaan perjelaskan inti pati Belanjawan 2024 kepada rakyat

Jentera kerajaan perjelaskan inti pati Belanjawan 2024 kepada rakyat

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Semua jentera kerajaan perlu memperjelaskan dan memberi penerangan mengenai inti pati Belanjawan 2024 kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata penjelasan perlu diberikan terutama isu pokok mengenai sebab utama kerajaan memberi tumpuan bidang kesihatan dan pendidikan dalam Belanjawan 2024.

“Penerangan itu penting, kena jelaskan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar pada 13 Okt lepas membentangkan belanjawan bertemakan “Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat” berjumlah RM393.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara.

Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2024 iaitu RM58.7 bilion daripada RM393.8 bilion keseluruhan belanjawan, manakala Kementerian Kesihatan diperuntukan RM41.2 bilion.

Anwar berkata Belanjawan 2024 adalah belanjawan negara yang dilaksanakan bagi memberi keyakinan kepada pelabur dan keselesaan maksimum kepada rakyat.

“Belanjawan tidak boleh dilihat dalam ‘vakum’ tetapi lihat juga latar belakang kekuatan ekonomi, keutuhan kestabilan politik, keupayaan kita langsaikan hutang dan selesaikan beberapa kerangka ekonomi makro yang asas,” katanya.

Mengenai subsidi, Anwar menegaskan sekali lagi bahawa subsidi masih dikekalkan untuk rakyat dengan RM81 bilion diperuntukkan bagi tujuan itu.

“Subsidi satu tahun RM81 bilion antara paling tinggi…kerajaan bertanggungjawab kekal dengan subsidi begitu banyak. Ini tertinggi dan tiada negara beri subsidi begitu tinggi…subsidi adalah bantuan kerajaan untuk kurangkan beban rakyat,” katanya.

Anwar berkata langkah kerajaan menyasarkan penyaluran subsidi adalah bagi memastikan ia dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

“Subsidi bukan cukai kepada mereka (maha kaya) tetapi tarik sedekah (subsidi) ke atas orang kaya macam Tabung Haji (TH) beri subsidi kerajaan kepada semua.

“Pendapatan RM1 juta tetapi bila daftar dengan TH dapat subsidi dan ia tidak munasabah, bayarlah dan TH akan bantu permudah urusan,” katanya sambil menambah golongan berpendapatan rendah dan miskin masih nikmati subsidi TH.

Mengenai subsidi elektrik pula, beliau berkata subsidi ditarik untuk 10 peratus mereka yang kaya dan berpendapatan tinggi namun masih dinikmati oleh 90 peratus rakyat negara ini.

“Apabila 10 peratus teratas itu tidak diberikan subsidi, kita dapat jimatkan RM4.6 bilion…ini kecelaruan dasar sebelum ini dan ini langkah kita sasarkan subsidi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com