Thursday, 2, May, 2024
Utama Nasional Kehadiran Malaysia ke sidang APEC diteliti, tapi bincang dahulu – PM

Kehadiran Malaysia ke sidang APEC diteliti, tapi bincang dahulu – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang berhubung dengan negara Asia lain termasuk China untuk mencapai kata sepakat memboikot kehadiran mereka pada sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat, bulan depan.

Tindakan terhadap badan ekonomi terbesar itu sebagai tanda protes Malaysia kepada pendirian Amerika Syarikat jika kekejaman oleh zionis Israel terhadap rakyat Gaza di Palestin tidak dihentikan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi maklumat yang diperoleh nanti, membolehkan Malaysia mengambil keputusan seiring dengan ketetapan negara-negara berkenaan.

“Kehadiran Malaysia di APEC kita sedang teliti. Ini badan ekonomi Asia Pasifik.

“Jadi Malaysia hubungi dengan negara Asia, China untuk tahu tentang kedudukan mereka. Kita akan ambil keputusan selaras dengan pendirian rakan lain dan Asia,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal [PN-Machang] jika Malaysia bercadang memboikot sidang APEC nanti. 

27 Oktober lalu, Anwar dilaporkan berkata, masih terlalu awal untuk kerajaan Malaysia memutuskan keperluan memboikot sidang APEC. 

Wan Ahmad Fayshal sebelum ini mencadang supaya Malaysia memboikot mesyuarat APEC tanda sokongan kepada Palestin pada masa sama menunjukkan bantahan keras terhadap AS yang menyokong pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel.

Perdana Menteri dilaporkan akan mengetuai delegasi Malaysia ke APEC pada November ini.
Selain mesyuarat pemimpin APEC, pemimpin-pemimpin ASEAN kecuali Myanmar turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

APEC yang ditubuhkan pada 1989, adalah forum ekonomi serantau bagi memanfaatkan kebergantungan yang saling meningkat di Asia Pasifik.

Selain itu, 21 anggota Ekonomi APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada penduduk global atau hampir 50 peratus daripada perdagangan global serta lebih 60 peratus eksport barangan AS.

Negara anggota APEC adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com