Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Langgar sikit peraturan, janji tak rasuah – PM

Langgar sikit peraturan, janji tak rasuah – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kaedah lama dalam meluluskan aktiviti pelaburan dari luar negara dirombak dan perlu dipercepatkan sekali pun melanggar peraturan sedia ada.

Perdana Menteri berkata, jika peraturan dan teknikal itu menjadi penghalang dalam menyegerakan pelaksanaan itu, ia tidak salah untuk ‘dilanggar’ selagi tidak berkaitan rasuah dan penyelewengan.

Beliau pada masa sama kecewa apabila terdapat rungutan daripada pelabur dari New York bahawa Malaysia terlalu lambat dalam soal kelulusan yang dibandingkan dengan negara Vietnam.

“Kaedah lama tidak boleh pakai lagi, orang minta nak labur tunggu lapan bulan baru bagi jawapan. Saya kata tidak boleh, kalau kita langgar sikit-sikit peraturan selagi tidak rasuah dan tidak penyelewengan, saya sudah pakat dengan Ketua Audit Negara.

“Kalau (langgar) peraturan dan teknikal itu bukan jadi masalah, ia menjadi masalah kalau mencuri wang negara.

“Tetapi kalau nak dipercepatkan, maka ia harus (langgar peraturan), saya jumpa pelabur di New York dia kata Malaysia ini semua baik dan profesional, tetapi yang lambat ialah kelulusan, dia banding dengan Vietnam, saya tak boleh terima, jadi kita harus percepatkan,” katanya ketika berucap pada program Kolokium Madani Perkhidmatan Awam di sini semalam.

Dalam pada itu, Anwar berkata, amalan rasuah, penyelewengan dan pembaziran perlu dihentikan kerana ia beri kesan pengagihan kepada golongan memerlukan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pembaziran mengakibatkan kerugian jutaan ringgit dan amalan itu perlu dibanteras dengan tekad politik dari Jemaah Menteri serta dukungan pegawai kanan kerajaan.

“Paling ketara ialah kerana tata kelola dan penyelewengan diterima sebagai satu sistem. Beberapa skandal besar tidak mungkin berlaku hanya dengan ahli politik yang korup.

“Dia kadang-kadang bersekongkol dengan seluruh sistemnya ilmuan dan ahli akademik diam membisu dan pentadbir yang susah terima kenyataan ini dan tidak mampu lakukan perubahan,” katanya.

Anwar pada masa sama yakin Malaysia mampu kembali menjadi sebuah negara yang hebat dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi berdasarkan keupayaan dan potensi yang ada.

Katanya, usaha itu mampu direalisasikan hasil pendekatan dan kerjasama penuh yang diberikan semua pihak termasuk penjawat awam.

“Saya meluahkan idea, cara terbuka dari segi konsep pendekatan supaya rakan penjawat awam dapat memberi kerjasama sepenuhnya.

“Saya yakin sebab Allah swt banyak mengujji saya, ada kesabaran, (menjadi) lebih waras, tetapi selepas melihat sepak terajang politik dan apa yang berlaku dalam pentadbiran negara, saya yakin dengan semangat baharu, beri masa dua atau tiga tahun, Malaysia dapat diangkat sebagai satu negara hebat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com