Sunday, 5, May, 2024
Utama Negeri Graduan UUM terima ijazah sarjana selepas pengebumian bapa

Graduan UUM terima ijazah sarjana selepas pengebumian bapa

oleh Ammar Haziq

SINTOK: Kurang 24 jam sebelum menaiki pentas bagi menerima ijazah, Muhammad Firdaus Othman, 37, menempuh detik sukar apabila kehilangan bapa tercinta.

Othman Karim, 70, bapa kepada graduan Sarjana Pengajian Perniagaan Islam itu meninggal dunia akibat strok di Hospital Kangar, Perlis pada jam 1 pagi Selasa dan telah selamat dikebumikan di Simpang Empat, Perlis pada hari sama.

Muhammad Firdaus berkata, meskipun baru kehilangan bapanya beberapa jam sebelum hari bersejarah itu, beliau tetap hadir menerima skrol sebagai bukti kejayaan menamatkan pengajian peringkat sarjana dan ingin meneruskan semangat menyambung cita-cita arwah bapa untuk menjadi seorang pendidik profesional.

Menurutnya, arwah bapanya sangat gembira apabila mengetahui beliau menyambung pelajaran di UUM, malah sanggup membayar yuran pengajiannya pada semester pertama.

“Sesungguhnya, saya amat bersyukur memiliki ibu bapa yang sangat mementingkan ilmu dan adab, tambahan pula arwah bapa merupakan bekas pensyarah, manakala ibu saya, Bderiah Wahab berusia 70 tahun adalah pesara guru sekolah rendah.

“Saya melihat kedua ibu bapa saya berjaya mendidik anak-anaknya sehingga berjaya ke menara gading dan ada antaranya turut memiliki ijazah sarjana dalam pelbagai disiplin,” kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Muhammad Firdaus yang menjawat jawatan sebagai Penolong Pengurus di sebuah bank di Petaling Jaya kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah di UUM.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu menerima ijazah sarjana yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah pada sesi ketiga di Dewan Mu’adzam Shah, petang semalam.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com