Friday, 3, May, 2024
Utama Negeri Pusat Inkubasi Keusahawanan 2u2i dinaik taraf lahirkan lebih ramai usahawan pelajar

Pusat Inkubasi Keusahawanan 2u2i dinaik taraf lahirkan lebih ramai usahawan pelajar

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Pusat Inkubasi Keusahawanan 2u2i UUM akan dinaiktaraf dengan bantuan pihak Payment Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), untuk melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan pelajar.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, PayNet telah meluluskan geran sebanyak RM300,000 dan RM50,000 daripada itu akan disalurkan kepada pembangunan bilik inkubasi keusahawanan 2u2i yang ditempatkan di bangunan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM).

“Sumbangan PayNet ini akan akan membolehkan pusat itu beroperasi dengan lebih baik pada pertengahan Januari 2024 nanti dan diharapkan lebih ramai rakan-rakan industri dan komuniti akan melibatkan diri untuk tujuan ini.

“Moga dengan sumbangan dari PayNet ini, SBM akan menjadi Hub Keusahawanan dan perniagaan yang unggul di universiti ini,” katanya ketika merasmikan Hari Terbuka SBM yang bertemakan ‘Empowering Tomorrow Business Pioneers’.

Program hari terbuka itu bertujuan menjalinkan hubungan yang erat antara pusat pengajian dan industri yang akan memberi manfaat kepada pelajar dalam pembelajaran mereka termasuk sebagai persediaan memasuki pasaran pekerjaan nanti.

Sempena hari terbuka ini lebih 30 usahawan dan peniaga hadir untuk menjayakannya.

Antara penyumbang yang menjayakan Hari Terbuka SBM ini ialah Alumni UUM yang juga Prof Adjung SBM Shazmi Ali Sadar Ali, beberapa influencer, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nescafe, E-man Café, Pulun Cetak, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Usrah Associates dan beberapa penyumbang perseorangan lain.

Dr Mohd Foad yakin pelajar yang melibatkan diri dalam program itu akan lebih proaktif dan dapat mengasah kemahiran khususnya pengurusan majlis, pengurusan kewangan perniagaan.

Sementara itu Dekan SBM, Prof Madya Dr Shuhymee Ahmad dalam ucapan aluannya berkata, SBM telah menyediakan platform yang menyeluruh kepada pelajarnya untuk mempamerkan potensi, kebolehan dan pencapaian mereka dalam pembelajaran di kampus ini.

Menurutnya. dalam menjayakan hari terbuka ini pelbagai pihak termasuk Alumni SBM, agensi kerajaan, swasta dan perseorangan turut bersama-sama menjayakan program julung kali dianjurkan selepas COVID-19 lalu.

Program seperti ini akan lebih meriah pada tahun 2024 sempena sambutan 40 tahun penubuhan UUM nanti.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) yang juga menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com