Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional PM tinjau banjir di Kelantan

PM tinjau banjir di Kelantan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke Kelantan hari ini meninjau sendiri situasi banjir yang melanda negeri itu ketika ini.

Perkara itu dikongsi Anwar menerusi hantaran di Facebook susulan pertemuannya bersama Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin di Phuket, Thailand semalam.

“Kami juga sempat bicara terkait situasi banjir yang berlaku ketika ini dan insya-Allah esok saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana.

“Semoga Allah segera mengangkat bencana ini,” katanya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan hari ini memaklumkan, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 17,466 orang daripada 5,510 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 15,994 mangsa daripada 4,967 daripada keluarga yang direkodkan malam tadi.

Kesemua mangsa di lapan jajahan iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu itu berlindung di 89 PPS.

Sementara itu, Anwar berkata dalam pertemuannya secara santai bersama Srettha, mereka berdua turut menyentuh beberapa perkara penting antaranya melibatkan soal pelancongan Malaysia dan Thailand.

“PM Srettha menyatakan kesediaan Thailand untuk mempromosikan pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan lain di utara Semenanjung negara secara bersama memandangkan peningkatan mendadak pelancong Malaysia ke Thailand.

“Selain itu, kami berdua turut bersetuju untuk menyegerakan Projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam serta Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang,” katanya.

Anwar berkata beliau dan Srettha juga sepakat untuk bersama-sama membangunkan wilayah selatan Thailand dan utara Semenanjung secara lebih pesat, sekali gus menjamin limpahan ekonomi dan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua wilayah ini.

Katanya, jawatankuasa khas peringkat tertinggi antara kedua-dua negara perlu melaporkan kemajuan projek dan perkara-perkara yang telah dipersetujui pada pertengahan bulan depan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com