Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Beras Kedah akan dihasilkan, dijual lebih murah

Beras Kedah akan dihasilkan, dijual lebih murah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah akan mengadakan kerjasama dengan syarikat pengilang beras bagi menghasilkan Beras Kedah untuk dijual pada harga lebih murah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha itu dilakukan oleh kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban rakyat dan enggan melayan kritikan daripada mana-mana pihak.

Menurutnya, sudah ada halangan daripada pihak tertentu selepas pihaknya mengumumkan mahu mengeluarkan Beras Kedah.

“Kita akan teruskan, di peringkat awal lepas kita lontarkan idea itu , sudah ada halangan bukan dari orang itu (Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh), itu bukan tanggungjawab dia.

“Dia jaga MADA, lepas padi naik lori dari kawasan MADA masuk kilang bukan lagi tanggungjawab MADA, kita runding dengan pengilang beras, bukan padi,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan di Wisma Darul Aman, di sini.

Tambah Sanusi, kerajaan negeri tidak merancang untuk membuka kilang beras, namun usaha itu diserahkan kepada pengilang untuk mengeluarkan Beras Kedah dan dijual dengan harga lebih murah.

Pada Rabu, Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kerajaan negeri tidak membuat sebarang permohonan untuk mengeluarkan Beras Kedah.

Menurutnya, pihaknya musykil apabila Sanusi mendakwa terdapat pihak cuba menghalang hasrat Kedah tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com