Saturday, 4, May, 2024
Utama Negeri 466 peket minyak subsidi, 13 tong gas petroleum cecair dirampas

466 peket minyak subsidi, 13 tong gas petroleum cecair dirampas

oleh Ammar Haziq

KULIM – Sebanyak 466 peket minyak bersubsidi dan gas petroleum cecair 13 tong bersamaan 182 kg dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam serbuan di dua premis di daerah ini, pada Ahad.

Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan dilakukan jam 2 petang dengan kekuatan seramai lima anggota penguat kuasa KPDN Kulim hasil aduan orang awam.

Menurutnya, pemeriksaan di premis pertama di sebuah kedai runcit menjual barangan keperluan harian dan mendapati premis terbabit mempunyai lesen runcit yang masih sah bagi menjual barang kawalan berjadual iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum (GMT) dengan had simpanan lesen runcit bagi minyak masak adalah 1,000 kilogram.

“Selepas itu, pihak kami melakukan pemeriksaan lanjut di premis bersebelahan yang juga dimiliki oleh pemilik kedai runcit terbabit.

“Pasukan kami menemui sebanyak 370 paket 1kg minyak masak bersubsidi di permis terbabit yang tiada dinyatakan dalam lesen runcit terdahulu sebagai tempat penyimpanan barang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Affendi berkata lagi, berikutan itu pihaknya bertindak menyita sebanyak 370 paket 1 kg minyak masak bersubsidi itu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memindahkan barang kawalan iaitu minyak masak dari premis yang dilesenkan.

“Manakala dalam serbuan kedua di sebuah permis perniagaan restoran dan katering, yang juga dimiliki oleh pemilik kedai runcit itu, pasukan kemudian menemui minyak masak paket 1kg bersubsidi sebanyak 96 paket (96 kg) dan gas petrolem cecair sebanyak 13 tong bersamaan 182 kg.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Menurutnya lagi, pasukan serbuan kemudiam bertindak menyita minyak masak paket 1kg bersubsidi sebanyak 96 kg dan gas petrolem cecair sebanyak 13 tong bersamaan 182 kg itu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 iaitu tidak memiliki permit kebenaran untuk menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com