Monday, 6, May, 2024
Utama Nasional Agong perkenan calon TYT Sarawak baharu, lantikan YDP Dewan Negara disegerakan

Agong perkenan calon TYT Sarawak baharu, lantikan YDP Dewan Negara disegerakan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memperkenan calon Yang Dipertua Negeri (TYT) Sarawak yang baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengemukakan nama calon kepada baginda minggu lalu dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Proses pelantikan TYT Sarawak seperti kita tahu adalah atas budi bicara Agong dan telah dikemukakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.

“Saya telah kemukakan nama calon itu kepada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu dan itu telah diperkenan dan akan diumumkan mungkin satu dua hari ini,” katanya.

Anwar berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Wacana Pemikir Universiti Malaya bertemakan ‘The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia’ di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini.

Abdul Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh pada 1 Mac 2014, menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Tempoh perkhidmatan beliau akan tamat pada 28 Feb ini.

Sebelum ini, tular laporan mengenai berita peletakan jawatan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang dikaitkan dengan pelantikan sebagai TYT Sarawak yang baharu.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara susulan peletakan jawatan Wan Junaidi, Anwar berkata, Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan membincangkan mengenainya malam ini.

“Tentang Yang di-Pertua Dewan Negara, kita bincang dan adakan mesyuarat malam ini supaya dapat disegerakan pelantikannya,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com