Monday, 29, April, 2024
Utama Negeri Budak lapan tahun maut ditimpa dinding bata rumah

Budak lapan tahun maut ditimpa dinding bata rumah

oleh Ammar Haziq

BALING – Seorang budak lelaki maut dipercayai selepas ditimpa dinding bata yang sedang dalam pembinaan di bahagian dapur rumahnya di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, Kuala Ketil, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa selepas terdengar bunyi dentuman kuat pada jam jam 10.30 pagi.

Beliau berkata, ibu kanak-kanak itu kemudian bertindak menghubungi suaminya memaklum anak mereka berusia lapan tahun ditimpa kejadian tersebut.

“Ketika kejadian, bapa mangsa yang berusia 39 tahun sedang bekerja di sebuah kilang di sini manakala ibu kanak-kanak itu sedang memasak di dapur.

“Sebelum kejadian, ibu kanak-kanak lelaki itu sudah beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan dua anaknya supaya tidak bermain di sekitar kawasan ruang dapur yang sedang dibina oleh bapa mereka.

“Malah ibu mereka juga menyuruh mangsa dan adiknya yang berusia empat tahun masuk ke dalam rumah namun mereka tidak diendahkan dan terus bermain di situ,” katanya pada hari ini.

Jelas Shamsudin, tidak lama kemudian ibunya kemudian terdengar bunyi sangat kuat dan lantas dengan itu, wanita tersebut kemudian pergi ke tempat kejadian sebelum mendapati seluruh badan anaknya sudah ditimpa dinding bata.

“Adik mangsa turut ditimpa dengan batu-bata dinding berkenaan di belakang badan namun hanya mengalami cedera ringan.

“Kemudian, ibu mereka kemudian meminta bantuan dari jiran bersebelahan rumah mereka untuk menghantar kedua-dua anaknya itu ke Klinik Kesihatan Tawar.

“Namun, sebaik tiba di klinik berkenaan, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” ujar beliau.

Shamsudin berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan ibu dan bapa kanak-kanak terbabit untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com